KOTA BHARU – Seorang juruvideo sambilan di sebuah stesen televisyen hidup dalam ketakutan selepas seorang lelaki bertopeng meletupkan sekotak bunga api bateri menghala ke arahnya dalam kejadian di Kampung Wakaf Tanjong, Chepa di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi ketika Kamisah Azid, 55, sedang bersiap-siap untuk tidur sebelum wanita itu dikejutkan dengan bunyi letupan berwarna-warni kuat di depan rumahnya.
Kamisah yang merupakan ibu tunggal berkata, mendengar letupan itu, anak keduanya, Nur Shairah Solehah Ahmad Norzaki, 30, menjerit ada seorang lelaki bertopeng meletupkan bunga api tersebut di hadapan rumah.
Katanya, dia yang terkejut terus menjenguk ke luar rumah dan mendapati memang ada orang meletupkan bunga api yang biasanya dibakar semasa musim perayaan.

“Saya juga menjerit ‘Ya Allah, siapa yang pasang bedil (mercun) depan rumah aku ini’. Keadaan itu menyebabkan kami sekeluarga terus bersembunyi untuk menyelamatkan diri.
“Dalam garaj di depan rumah ada beberapa buah kereta. Nasib baik letupan bunga api itu tidak kena pada kereta dan hanya beberapa bahagian rumah terutamanya atap ada kesan terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Sementara itu, Nur Shairah berkata, dia melihat cahaya mereka seperti api membakar rumah berhampiran tingkap biliknya lalu mendukung anaknya yang berusia tiga tahun sambil menjerit memanggil ibunya yang berada di tingkat bawah.
“Pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumahnya mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali bertindak mencucuh bunga api itu sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Honda yang tidak dapat dipastikan jenisnya berkelabu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














