PETALING JAYA – Skim kemudahan pembayaran ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) menjadi antara punca seramai 3,876 belia diisytiharkan bankrap sejak 2022 sehingga kini selepas mereka mempunyai hutang tertunggak melebihi RM100,000.
Selain itu, pinjaman peribadi juga menjadi antara faktor utama mereka muflis, malah lebih membimbangkan apabila data Jabatan Insolvensi mendedahkan ada belia yang diisytiharkan muflis seawal usia 20 tahun.
Jumlah itu mewakili 14.48 peratus daripada keseluruhan 26,782 orang yang diisytiharkan bankrap dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Insolvensi, Datuk Ishak Bakri berkata, hampir separuh daripada kes bankrap berpunca daripada pinjaman peribadi apabila ramai belia membuat pinjaman tanpa perancangan jangka panjang.
Katanya, antara faktor lain ialah pengaruh gaya hidup takut ketinggalan (Fear of Missing Out atau FOMO) dan hanya hidup sekali (You Only Live Once atau YOLO).
“Menurut beberapa laporan, tekanan media sosial dan gaya hidup mewah (seperti gaya hidup influencer, percutian dan barang berjenama) mempengaruhi sesetengah belia berbelanja melebihi daripada kemampuan.
“Lantas mereka kemudian berhutang melalui pinjaman mudah seperti pinjaman peribadi dan BNPL,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, trend kebankrapan dalam kalangan belia wajar diberi perhatian serius apabila statistik sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan seramai 74 belia telah diisytiharkan bankrap.
Katanya, keadaan itu didorong oleh trend orang muda yang cenderung menjalani gaya hidup mewah sehingga sanggup memohon lebih daripada satu kad kredit, sekali gus meningkatkan beban hutang.
“Sebagai contoh, terdapat kes ada individu telah bankrap kerana mengemukakan permohonan kad kredit ke pelbagai institusi kewangan secara serentak dan pada masa sama kelulusan kemudahan pun serentak.
“Kemewahan yang dikecapi hanya sementara dan akhirnya menjadi beban apabila penghutang tidak lagi mampu membayar hutang kad kredit, tambahan pula faedahnya tinggi antara 15 hingga 18 peratus setahun.
“Perbelanjaan yang tidak berhemah ini akan memberi kesulitan kepada penghutang dan akhirnya menyumbang kepada kebankrapan,” ujarnya.
Menurutnya, secara keseluruhan, sejak 2022 sehingga akhir Jun lalu, seramai 26,782 individu telah diisytiharkan bankrap di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, golongan berusia lingkungan 35 hingga 44 tahun paling ramai diisytiharkan bankrap iaitu 10,655 individu, diikuti usia 45 hingga 54 tahun (7,723 individu), 55 tahun ke atas (4,355 individu), usia 25 hingga 34 tahun (3,802 individu), usia 20 hingga 24 tahun (74 individu) dan tiada maklumat (173 individu).
“Berdasarkan statistik terkini itu juga golongan lelaki paling ramai muflis iaitu 19,208 orang, diikuti wanita 7,488 orang dan tidak pasti 86 orang,” katanya
Menurutnya, dari segi pecahan bangsa pula, Melayu paling ramai diisytiharkan muflis iaitu seramai 14,884 individu, diikuti Cina (7,704 individu), India (1,940 individu), lain-lain (2,114 individu) dan bukan warganegara (140 individu).
Justeru, beliau mengalu-alukan orang awam yang telah mendapat perintah kebankrapan supaya hadir ke Jabatan Insolvensi dengan segera.
“Kehadiran mereka ke jabatan serta kerjasama yang diberikan boleh membuka peluang kedua untuk kes mereka dilepaskan pada masa hadapan,” katanya.
Pada 17 Julai lalu, Kosmo! melaporkan, Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis melalui laman sesawang Parlimen memaklumkan jumlah pemegang akaun BNPL meningkat kepada lapan juta bagi suku pertama 2026.
MOF berkata, berdasarkan jumlah pemegang akaun itu, jumlah baki terkumpul BNPL mencecah RM5.3 bilion, manakala jumlah tidak berbayar pula sebanyak RM181 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL.













