SERDANG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan memulakan siasatan berhubung kes kebakaran Pasar Borong Selangor pada Isnin depan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, premis tersebut telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Ibu Pejabat JBPM Selangor.
“Penilaian awal telah dimulakan oleh pegawai siasatan dan unit K9 pada petang semalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas sama ada terdapat unsur khianat dalam kes berkenaan, beliau berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiada mangsa ditemukan dalam kebakaran yang memusnahkan beberapa premis perniagaan di Pasar Borong Selangor, di sini selepas kerja-kerja punggahan sisa bahan terbakar selesai dijalankan semalam.
Ashrul Riezal dilaporkan berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada individu terperangkap di bawah timbunan runtuhan.
Sebelum ini, JBPM menggunakan jengkaut bagi mengalihkan timbunan sisa kebakaran susulan terdapat petunjuk bahawa premis berkenaan pernah dijadikan tempat tinggal, sekali gus bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di lokasi.
Kebakaran yang berlaku semalam memusnahkan beberapa premis perniagaan di kawasan pasar berkenaan, namun api berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan utama pasar. – KOSMO! ONLINE














