GUA MUSANG – Doa dan solat hajat sepanjang lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) akhirnya dimakbulkan apabila mayat Mohd. Ilham Che Mat Satar, 27, ditemukan di Sungai Galas dekat Kampung Batu 6 di sini hari ini.
Ibu mangsa, Rozita Ramli, 47, berkata, selain operasi SAR, sokongan daripada orang ramai yang mengadakan solat hajat dan mendoakan keselamatan anaknya turut memberi kekuatan kepada ahli keluarga.
Katanya, penemuan jasad Mohd. Ilham mengakhiri penantian keluarga yang tidak pernah putus-putus berdoa agar anaknya yang hilang pada Isnin lalu segera ditemukan.
“Alhamdulillah, akhirnya Allah SWT memakbulkan doa kami sekeluarga termasuk semua yang mendoakan Mohd. Ilham. Kami reda dengan ketentuan-Nya walaupun dia ditemukan sudah meninggal dunia.
“Lebih menyentuh hati mayatnya ditemukan pada hari Jumaat yang mulia. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari dan orang ramai yang tidak putus-putus melakukan solat hajat dan mendoakan anak saya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Gua Musang di sini hari ini.
Rozita berkata, pada hari kelima operasi, seluruh ahli keluarga termasuk isteri mangsa, Nor Aidasazliza Razali, 25, turut menyertai pencarian dengan menaiki bot di sepanjang Sungai Galas sambil berdoa agar Mohd. Ilham segera ditemukan.
Jenazah Mohd. Ilham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limau Kasturi selepas proses bedah siasat selesai.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, selepas lima hari hilang, mayat seorang jurukimpal yang dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbalik di Sungai Galas akhirnya ditemukan hari ini. Mayat Mohd. Ilham dijumpai kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia terjatuh pada pukul 1 tengah hari. – KOSMO! ONLINE














