fbpx
Dr. Ahmad Farhan (dua dari kiri) dan Dr. Nurliza melihat proses pembelajaran lebih interaktif, berasaskan simulasi dan berpaksikan teknologi digital.

UPM pelopori pembelajaran imersif, lahir graduan lebih kompeten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar satu lagi sejarah dalam transformasi pendidikan negara apabila memperkenalkan Makmal Bionic Imersif hasil kerjasama strategik dengan G Plus Tech Sdn. Bhd. bagi memperkasa pembelajaran berasaskan teknologi Realiti Maya (VR), Realiti Terimbuh (AR) dan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam bidang perubatan.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, penubuhan makmal tersebut membuktikan komitmen universiti untuk menerajui pembelajaran imersif yang mampu meningkatkan kualiti pengajaran serta melahirkan graduan lebih kompeten dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

Katanya, penggunaan teknologi simulasi memberi peluang kepada pelajar menguasai prosedur klinikal dalam persekitaran yang selamat sebelum berdepan situasi sebenar bersama pesakit.

“Hari ini kita menyaksikan hasil kerjasama strategik antara UPM dan G Plus Tech yang berjaya merealisasikan sebuah Makmal Bionic Imersif. Makmal ini menggunakan teknologi terkini bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya kepada pelajar perubatan,” katanya selepas merasmikan makmal itu di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) di sini.

Turut hadir Dekan FPSK, Prof. Dr. Normala Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif G Plus Tech Sdn. Bhd., Dr. Nurliza Md. Azzam.

Ahmad Farhan berkata, pendekatan pembelajaran imersif bukan sahaja meningkatkan kemahiran klinikal pelajar, malah membantu membina keyakinan mereka sebelum menjalani latihan di hospital atau memasuki alam pekerjaan.

“Jika dahulu pelajar banyak belajar melalui pengalaman secara langsung atau kaedah cuba dan silap, kini mereka boleh menjalani simulasi yang lebih realistik dalam persekitaran yang selamat. Pendekatan ini dijangka meningkatkan kemahiran, kompetensi serta keyakinan mereka,” katanya.

Beliau berkata, teknologi tersebut juga berpotensi mengurangkan tekanan yang sering dihadapi pelajar ketika menjalani latihan klinikal kerana mereka telah didedahkan lebih awal kepada pelbagai situasi melalui simulasi digital.

Sementara itu, Dr. Nurliza berkata, pembangunan makmal berkenaan merupakan usaha G Plus Tech memperkasakan sistem pendidikan negara menerusi teknologi yang lebih dekat dengan generasi masa kini.

“Pelajar hari ini belajar dengan cara yang berbeza. Mereka mahukan pengalaman yang interaktif dan lebih dekat dengan situasi sebenar. Sebab itu kami membangunkan platform yang menggabungkan AI, VR dan AR bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik, berkesan dan relevan,” katanya.

Menurut beliau, antara keunikan platform itu ialah penggunaan Private GPT, iaitu sistem AI tertutup yang dibangunkan menggunakan silibus dan dokumen rasmi institusi bagi memastikan maklumat yang diterima pelajar lebih tepat serta selamat.

“Private GPT bukan seperti AI awam yang mendapatkan maklumat daripada internet. Institusi memuat naik silibus dan dokumen rasmi mereka sendiri supaya pelajar memperoleh jawapan yang tepat mengikut kurikulum tanpa risiko kebocoran maklumat,” katanya.

Beliau berkata, G Plus Tech menyasarkan teknologi itu diperluaskan ke universiti lain, hospital serta organisasi kerajaan dan swasta bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran pintar yang menyokong agenda transformasi digital negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN