BAGI seseorang atlet, aksi di dalam gelanggang yang memerlukan tahap persaingan tinggi merupakan satu hal biasa yang perlu dihadapi.
Dalam persekitaran yang serba sengit itu, setiap titisan keringat dan strategi yang diatur menjadi penentu yang membezakan antara kemenangan dengan kekecewaan di penghujung perlawanan.
Namun tidak bagi Sivasangari Subramaniam. Aksi di dalam gelanggang bagi dirinya bukan sekadar satu rutin persaingan biasa tetapi pentas sebenar untuk membuktikan keazaman yang utuh boleh mengatasi sebarang rintangan.
Sivasangari ingin membuktikan bahawa kekuatan mental yang luar biasa mampu meruntuhkan apa sahaja halangan dalam sukan penuh intensiti yang diminatinya itu.
Sivasangari kini menjadi ‘permata’ atau ratu baharu sukan skuasy negara apabila mencatatkan pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Sivasangari juga telah mencipta satu sejarah tersendiri dalam pencapaiannya apabila berjaya menduduki ranking kelima dunia setelah memperlihatkan aksi yang konsisten terutama selepas menjuarai Piala Grasshopper 2026 di Zurich, Switzerland, baru baru ini.
Menceritakan permulaan perjalanannya dalam dunia sukan, anak muda dari Kedah itu mengambil keputusan berpindah ke ibu kota pada usia 16 tahun untuk menuntut di Kolej Tuanku Ja’afar sambil menjalani latihan intensif di Pusat Skuasy Negara.
“Saya nekad untuk berpindah ke Kuala Lumpur demi mengejar impian saya untuk menjadi pemain skuasy profesional.
“Ketika itu, saya bertuah kerana ahli keluarga saya sangat menyokong dan menggalakkan saya untuk pindah ke Kuala Lumpur supaya saya dapat fokuskan dalam kedua-dua bidang iaitu pendidikan dan kerjaya sukan,” kata anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini.

Langkah berani dan dorongan penuh daripada keluarga tercinta itu memainkan peranan amat besar dalam membantunya mencapai tahap keberadaan pada hari ini.
Selain itu, perjalanan hidupnya kemudian melalui satu lagi transisi apabila dia perlu berhijrah ke Amerika Syarikat ketika berusia 19 tahun untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah jurusan media massa dan pada masa sama meneruskan karier skuasy.
“Itu adalah kali pertama saya tinggal jauh dari rumah, jadi proses menyesuaikan diri dengan negara, budaya dan persekitaran baharu satu cabaran yang hebat,” katanya kepada K-Wanita.
KONGSI Sivasangari, pada masa yang sama juga, dirinya perlu mengimbangi antara tuntutan sebagai seorang pelajar dan atlet.
Katanya, menguruskan akademik, latihan, kejohanan dan kehidupan seharian telah mengajarnya untuk menjadi lebih berdikari dan berdisplin.
“Dari perspektif sukan skuasy, saya didedahkan dengan gaya kejurulatihan, kaedah latihan yang berbeza serta persaingan yang lebih sengit, yang mana perkara ini telah membantu saya berkembang sebagai seorang pemain dan juga seorang individu,” katanya lagi.

Namun begitu, fasa mencabar dalam hidupnya muncul dengan lebih berat apabila dia terpaksa bangkit semula selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang ngeri pada tahun 2022 di Lebuh Raya Maju Expressway.
Dia yang cedera di kepala dan badan, kemudian dirawat di Hospital Putrajaya. Media kemudian melaporkan atlet itu mengalami kecederaan di bahagian muka dan tulang belakang (spine C1).
Terdahulu lapor media, perlanggaran membabitkan kereta dan lori itu menyebabkan 90 peratus kereta dinaiki mangsa terbakar.
Rentetan peristiwa itu, impian pemain skuasy wanita negara itu untuk membawa pulang pingat emas dari Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England musnah sekelip mata.
“Ia satu cabaran yang besar untuk saya bangkit semula selepas kemalangan jalan raya yang saya alami.
“Saat itu, saya sendiri tidak pasti sama ada saya akan dapat bermain skuasy semula atau tidak,” luahnya yang mengakui proses pemulihan itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
Kemalangan tersebut nyata menguji dirinya dalam cara yang tidak pernah dilalui sebelum ini sehinggakan terdapat banyak yang mempersoalkan keupayaan dirinya untuk bertanding semula di peringkat tertinggi.
“Fasa tersebut merupakan salah satu tempoh yang sukar dalam hidup saya, jadi antara titik tolak terbesar bermula apabila saya berhenti memikirkan tentang ketidakpastian masa hadapan.
“Sebaliknya, saya komited untuk menghadapi hari demi hari yang mendatang,” tegasnya yang memilih untuk kekal positif setiap hari tidak kira sekecil mana pun kemajuan yang dicapai.
Melalui kebangkitan itu, kini aksi hebat oleh Sivasangari semasa menghayun raket bertenaga di atas gelanggang kaca berjaya menarik tumpuan orang ramai.
Tambahnya, motivasi terbesar dalam dirinya adalah untuk membuktikan kepada diri sendiri tentang kemampuan untuk bangkit semula yang mana kini dia sedang berlatih dan bertanding secara sepenuh masa dengan berpangkalan di Prague, Republik Czech.
Melihat kepada perkembangan terkininya, segala penat lelah dan pengorbanan yang dicurahkan kini mula menampakkan hasil yang cukup besar apabila dia semakin matang dalam mengawal corak permainannya.
Katanya, setiap kali melangkah masuk ke dalam gelanggang, dia membawa bersama minda yang kental demi meraih mata berharga dalam setiap perlawanan.
“Masuk sahaja ke dalam gelanggang, minda saya tetap sama tidak kira sesiapa pun yang berada di pihak lawan, sebab saya percaya yang saya boleh menewaskan sesiapa sahaja jika meletakkan sepenuh jiwa dan raga ke dalamnya.
“Oleh itu, saya sentiasa berlatih bersungguh-sungguh setiap hari dan melakukan banyak pengorbanan sepanjang hidup demi mencapai impian untuk menjadi pemain terbaik di dunia,” ungkapnya.
Selain itu, Sivasangari turut menjelaskan mengenai persediaan taktikal yang dibuatnya untuk menunjukkan aksi kehebatan di dalam gelanggang skuasy.
“Bagi persediaan taktikal, ia berbeza mengikut lawan yang saya perlu hadapi. Saya fokus untuk memahami kekuatan dan kelemahan lawan serta menyesuaikan taktik semasa perlawanan untuk membuat keputusan yang lebih baik di bawah tekanan.
“Setiap lawan memberikan cabaran yang berbeza, jadi saya perlu bersedia dengan pelan permainan serta kekal berdisiplin dan kuat dari segi fizikal sepanjang perlawanan,” kata Sivasangari.
Oleh yang demikian, pendekatan taktikal yang digunakannya sentiasa dinamik dan sentiasa berubah mengikut lawan yang bakal dihadapi dalam sesuatu kejohanan.
Kini, fokusnya terus menuju ke hadapan demi mencapai lebih banyak sasaran dalam kejohanan bagi musim ini.
Antara sasaran terbesarnya selepas ini adalah untuk membawa pulang pingat emas dalam acara individu pada temasya Sukan Asia di Jepun yang akan datang.
Ia merupakan satu pencapaian yang sangat penting kerana kemenangan pingat emas di acara tersebut akan menentukan kelayakannya untuk ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles kelak.
Melihat keazaman yang mengalir dalam dirinya, Sivasangari bukan sahaja pembawa harapan negara, tetapi merupakan inspirasi hidup bahawa tiada rintangan yang mampu menghalangnya untuk terus mencapai di tahap tertinggi.
“Kalau saya dapat mara ke peringkat seterusnya dan sukan skuasy akan membuat penampilan sulung di Olimpik, maka mewakili Malaysia di sukan tersebut sentiasa jadi salah satu impian terbesar saya.
“Saya mahu terus mempertingkat setiap aspek permainan saya dan percaya bahawa sentiasa ada ruang untuk belajar dan berkembang, tidak kira apa jua kedudukan peringkat anda,” ujarnya.
Sivasangari kini bertekad untuk terus melonjakkan kedudukannya dalam ranking dunia.














