fbpx
Izham ketika berucap pada bengkel semakan semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Selangor di Shah Alam. Foto oleh AFIQ RAZALI

350km pantai Selangor terhakis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kira-kira 350 kilometer (km) kawasan pantai di Selangor dikenal pasti mengalami hakisan akibat pelbagai faktor termasuk perubahan iklim.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, daripada jumlah tersebut, kerja pemasangan benteng penahan ombak atau ban telah dilaksanakan melibatkan kira-kira 250km.

“Ini bermakna hampir dua pertiga daripada kawasan pantai di Selangor kini dilindungi dengan ban.

“Bagaimanapun, hasil kajian mendapati kesan perubahan iklim menyebabkan struktur sedia ada perlu dinaik taraf dengan meningkatkan ketinggiannya antara satu hingga 1.5 meter. Kini kita sedang menunggu pelaksanaan projek tersebut,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan bengkel semakan semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Selangor di sini, hari ini.

Menurut Izham, peningkatan ketinggian semata-mata bukan penyelesaian utama kerana aspek kekuatan struktur turut perlu diberi perhatian bagi memastikan benteng mampu menahan impak ombak.

“Di beberapa lokasi, struktur sedia ada boleh pecah akibat hentaman ombak. Sebab itu kita menggunakan batu pelindung (armor rock) dan beralih kepada sistem perlindungan pantai yang lebih canggih.

“Kita perlu memahami dinamika ombak dan perubahan alur laut kerana kedua-dua faktor itu boleh menyebabkan kemusnahan pantai yang serius jika tidak ditangani dengan pendekatan yang sesuai,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyerahkan lima projek pemuliharaan pantai yang telah siap merangkumi di Morib, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Di Kelanang (Kuala Langat), kita akan menggunakan teknologi baharu korea iaitu stone fiber match yang sangat efektif bagi kos dan pengurusan perlindungan pantai,” jelasnya.

Dalam pada itu, Izham berkata, kajian Pelan Induk Pengurusan Air Bersepadu dijangka siap selewat-lewatnya pada tahun depan.

“Ini merupakan kajian pertama dalam negara secara holistik berhubung air mentah, kumbahan dan terawat.

“Semua aspek ini saling berkait rapat termasuk isu pencemaran, gangguan bekalan air serta banjir, justeru ia tidak boleh dilihat secara berasingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN