fbpx
LISA bersama seorang lagi wanita muda Tonga yang dibawa ke China untuk tujuan perkahwinan. -AGENSI

Sindiket perkahwinan ‘lelong’ wanita di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NUKU’ALOFA – Pihak berkuasa Tonga melancarkan siasatan terperinci berhubung kewujudan sebuah sindiket perkahwinan atur yang dipercayai memperdaya dan membawa ramai wanita muda dari negara kepulauan Pasifik itu ke China, lapor agensi berita ABC News.

Siasatan tercetus susulan pendedahan seorang mangsa yang mendakwa dirinya diperlakukan seperti barang dagangan sebaik sahaja tiba di negara tembok besar tersebut.

Mangsa yang ingin dikenali sebagai Lisa, 23, dan membesar di sebuah kampung di Tonga berkata, dia tertarik dengan tawaran seorang wanita warga Tonga yang menetap di China untuk mengubah nasib keluarganya yang bekerja sebagai petani.

“Dia menghantar gambar dua lelaki China kepada saya, seorang bekerja di restoran dan seorang lagi pemilik perniagaan kereta. 

“Dia berjanji jika saya berkahwin dengan salah seorang daripada mereka, segala perbelanjaan saya ditanggung dan saya boleh menghantar wang ke kampung setiap bulan,” kata Lisa.

Namun, apabila dia tiba di sana keadaan bertukar menjadi  buruk baginya.

“Keadaan di China ternyata sangat berbeza daripada apa yang diberitahu kepada saya semasa di Tonga. 

“Saya rasa seolah-olah saya ini barangan yang telah dibeli dan dijual,” jelasnya.

Impian Lisa berkecai sebaik sahaja tiba di wilayah Fujian. 

Dia dibawa menemui beberapa lelaki berbeza yang langsung tidak sama seperti dalam  gambar yang ditunjukkan sebelum ini, sebelum diarahkan untuk berkahwin. 

Seorang pelajar warga Tonga di Fujian, Tapenisa Mahe  yang bertindak sebagai penterjemah Lisa mendedahkan bahawa proses berkenaan tidak ubah seperti satu acara lelongan.

“Beberapa keluarga berbeza datang melihatnya dan membuat keputusan sama ada mahukannya atau tidak. Keadaan itu sangat mencurigakan dan tidak wajar,” kata Mahe.

Dugaan mengenai kewujudan sindiket pemerdagangan manusia yang melibatkan wanita Tonga di China mula tular di media sosial bulan lalu. 

Pemangku Pesuruhjaya Polis Tonga, Tevita Vailea berkata, pihak polis mendapat tahu bahawa ada beberapa lagi wanita muda sedang bersiap sedia untuk berlepas ke China melalui perjalanan yang diatur, lalu menasihati mereka agar memikirkan semula rancangan tersebut. 

Katanya, pihak berkuasa belum mengenal pasti sama ada kes itu melibatkan jenayah pemerdagangan manusia secara rasmi.

“Kami telah mengenal pasti beberapa aspek penting untuk diberi tumpuan.

“Namun, siasatan kami masih di peringkat awal,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN