SEREMBAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dalam beberapa hari lagi dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu utama yang menjadi keutamaan rakyat di negeri ini.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, manifesto itu sedang dirangka oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan Datuk Dr. Radzi Jidin sebelum dilancarkan dalam tempoh terdekat.
“Antara yang diberi perhatian ialah isu ekonomi, infrastruktur, kesihatan awam, pendidikan serta beberapa lagi perkara yang akan disenaraikan sebelum dilancarkan,” katanya pada Program Rapat Rakyat Bersatu Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Utama (BGU) Sikamat di sini malam tadi.
Mengulas calon Menteri Besar sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri, Muhyiddin berkata, perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diputuskan kerana fokus utama ketika ini ialah memastikan kemenangan pada PRN.
“Itu akan sampai masanya nanti, kita tak perlu nak umumkan apa-apa, kita tengok trend, keadaan situasi, macam mana Insya-Allah kalau sokongan kuat, kita yakin kita boleh dapat jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan… tentu ada jawatan Menteri Besar yang perlu diisi,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga tidak mahu terlalu yakin meskipun sambutan terhadap kempen parti itu semakin menggalakkan memandangkan ini merupakan kali pertama parti tersebut bertanding menggunakan namanya sendiri di Negeri Sembilan. – KOSMO! ONLINE














