NARATHIWAT, THAILAND – Lima anggota Pasukan Petugas Renjer Ke-45 terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat pemeriksaan di Bukit Sami, Mukim Tanyong Mas, Daerah Rangae di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, anggota renjer yang terbunuh ialah Sarjan Mejar Theerayut Somakerd, 43, renjer Sakiriya Chehna, 23, renjer Wimol Dabthong, 43, renjer Natthasit Kaewsena, 34, dan renjer Salahudin Pi, 34.
Serangan itu turut mencederakan enam orang awam iaitu kanak-kanak berusia tiga tahun, Awatif Buehraheng, Habib Hina, 10, Muhammad Hafit Hina, 15; Masayfou Daoh, 21, Farha Abru, 67, dan Muhammad Ali Abru, 67.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, siasatan awal mendapati, tujuh penyerang menaiki sebuah trak pikap, manakala dua lagi menunggang motosikal sebelum menyerbu pusat pemeriksaan tersebut.
Katanya, penyerang turut membaling bom paip sehingga menyebabkan jumlah korban yang ramai.
“Enam orang awam yang yang berada di kawasan itu turut cedera. Kumpulan penyerang yang disyaki anggota kumpulan pemisah peringkat operasi melarikan diri menggunakan kedua-dua kenderaan berkenaan melalui Laluan 4055 dari Mukim Tanyong Mas ke Mukim Dusongnyo.
“Pihak berkuasa telah mengepung lokasi kejadian untuk mengumpul bukti dan sedang giat memburu semua suspek yang terlibat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu memberitahu, dalam gerakan susulan, pihak berkuasa menemukan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam serangan itu dalam keadaan terbakar di Mukim Sako, Daerah Sri Sakon, Narathiwat kira-kira pukul 8 malam tadi.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian dan kenderaan tersebut masih diteruskan.
“Pihak berkuasa kini meletakkan keselamatan di Selatan Thai, khususnya di Wilayah Narathiwat, pada tahap tertinggi susulan serangan itu serta pengeboman di Balai Polis Tanyong,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














