JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan beliau dengan isu tatakelola, kronisme dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).
Beliau berkata, dakwaan yang dikaitkan terhadapnya menerusi satu hantaran Facebook oleh bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi hari ini merupakan satu tohmahan jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang siasatan SPRM seperti yang didakwa dan menyifatkan kenyataan berkenaan telah mencemarkan nama baiknya.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan saya adalah satu tohmahan jahat dan fitnah yang tidak bertanggungjawab oleh Mohd Puad.
“Saya langsung tidak terlibat dalam sebarang siasatan yang telah dijalankan oleh pihak SPRM sebagaimana yang didakwa berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fared turut memaklumkan beliau telah melepasi saringan SPRM sebelum dipilih semula bertanding sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Sehubungan itu, beliau menggesa Mohd Puad supaya menarik balik kenyataan yang didakwa memfitnahnya selain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata, permohonan maaf itu perlu dibuat secara rasmi menerusi semua platform media selain hantaran berkenaan turut diturunkan.
Menurutnya, sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, beliau akan memulakan prosiding saman fitnah bagi membersihkan nama baiknya.
Dalam kenyataan sama, Mohd Fared turut mengingatkan kepentingan membuat semakan terhadap sesuatu maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan pihak lain.
Beliau turut memetik Surah Al-Hujurat ayat 6 yang menyeru umat Islam supaya menyelidik setiap berita yang diterima bagi mengelakkan kezaliman akibat fitnah dan tohmahan.
Pada masa sama, beliau berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik berlandaskan ukhuwah dan maslahah serta menjadi contoh kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga adab dan akhlak dalam menyelesaikan perbezaan. – KOSMO! ONLINE














