KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Sri Lanka yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dalam operasi khas di sekitar Jenjarom, Selangor, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 38 tahun yang merupakan majikan mangsa telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang dan eksploitasi buruh.
“Hasil risikan berjaya mengenal pasti identiti suspek, lokasi kediaman, premis perniagaan serta penempatan pekerja yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tersebut.
“Selain suspek, enam lagi warga Sri Lanka berusia antara 21 hingga 51 tahun yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita turut ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil saringan berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0 (NGHTI 2.0) mendapati seorang wanita dikenal pasti sebagai mangsa eksploitasi berjaya diselamatkan.
“Siasatan awal mendapati mangsa diperdaya dengan tawaran pekerjaan serta janji mendapatkan permit kerja sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk bekerja di sebuah premis makanan milik suspek.
“Bagaimanapun, mangsa telah dipaksa bekerja tanpa menerima gaji, tidak diberikan makanan yang mencukupi, dikawal pergerakannya selain mengalami kekerasan fizikal sebagai ugutan dan intimidasi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zakaria berkata, permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) telah dibuat terhadap mangsa mengikut peruntukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Zakaria berkata, suspek yang memiliki Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang (PLS) melalui perkahwinan dengan seorang warganegara Malaysia ditahan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 dan turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, enam warga asing yang turut ditahan akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang sedang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE














