fbpx
Dennis Lim (kanan) pada sidang akhbar di IPD Timur Laut, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO! ONLINE

Sindiket scam: Pemilik rumah, ejen elak terima penyewa tanpa usul periksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Pemilik rumah dan ejen hartanah disarankan membuat semakan latar belakang bakal penyewa bagi mengelakkan premis mereka dijadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, langkah itu penting memandangkan sindiket berkenaan kini dilihat semakin licik dengan menyewa kediaman mewah untuk dijadikan lokasi menjalankan kegiatan jenayah mereka.

Menurutnya, pemilik premis tidak seharusnya menerima mana-mana penyewa tanpa membuat penelitian terlebih dahulu terhadap identiti dan latar belakang mereka.

“Kami meminta semua pemilik rumah yang ingin menyewakan premis mereka supaya membuat semakan latar belakang terhadap bakal penyewa. Jika urusan dilakukan melalui ejen, semak juga latar belakang ejen tersebut.

“Jangan menerima sebarang penyewa tanpa membuat pemeriksaan sewajarnya kerana langkah ini dapat membantu menghalang premis disalahgunakan bagi tujuan jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kejayaan polis menumpaskan lima pusat penipuan dalam talian yang dipercayai mula beroperasi di Pulau Pinang sejak kira-kira satu hingga dua bulan lalu.

Mengulas mengenai sindiket penipuan antarabangsa yang menyasarkan perumahan mewah di negeri ini, beliau memberitahu bahawa polis tidak menolak kemungkinan berhubung perkara tersebut.

“Jika kita membuat andaian, penjenayah juga akan memilih kawasan mewah dan ada pengawal keselamatan. Itu satu kemungkinan kerana mereka mungkin beranggapan kawasan seperti itu sesuai untuk menyembunyikan kegiatan mereka.

”Polis bagaimanapun akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terlibat mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa serta menjalankan siasatan di bawah Akta Imigresen terhadap semua suspek yang ditahan,” katanya.

Baru-baru ini, Polis Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan eksploitasi manusia serta sindiket penipuan pekerjaan (job scam) dan pelaburan tidak wujud menerusi beberapa serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut.

Ketua Polis Pulau Pinang dilaporkan berkata, operasi tersebut membawa kepada penahanan seramai 109 individu, termasuk seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai bertindak sebagai majikan dan pengendali kegiatan eksploitasi manusia. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN