fbpx
Hantaran yang dimuat naik Anwar di Facebooknya.

Ramai galak balas pantun Anwar mengenai persahabatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hantaran pantun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai persahabatan dan muafakat mengundang perhatian ramai apabila pengguna media sosial turut galak membalasnya dengan rangkap pantun masing-masing.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkongsi pantun empat kerat yang membawa mesej supaya perbezaan tidak memutuskan persahabatan selagi kesepakatan masih dipertahankan.

“Burung merbah terbang sekawan, 

Guruh berdentum membelah awan;

Berbeza langkah, jangan putus kawan,

Selagi muafakat, kita sehaluan,” tulisnya sambil meletakkan lagu Madu dan Racun nyanyian Bill and Brod. 

Hantaran itu disertakan beberapa keping gambar, dengan foto pertama memperlihatkan Anwar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang tersenyum.

Gambar lain pula menunjukkan barisan Jemaah Menteri saling bersalaman dan beramah mesra dalam suasana mesyuarat yang kelihatan harmoni.

Pantun berkenaan kemudian mencetuskan pelbagai reaksi apabila pengguna media sosial tampil menyambung serta membalas rangkap itu dengan mesej mengenai kesetiaan, kepercayaan dan persahabatan.

Seorang pengguna, Nurul Zakiah Zamri Tan menulis, “Burung merbah terbang sekawan, Hinggap sebentar di pohon jati, Setia berjanji bergelar kawan, Janganlah nanti menikam peranti,” tulisnya. 

Irwan Ismail pula mengingatkan supaya sentiasa berhati-hati terhadap perubahan sikap seorang sahabat.

“Terbang berbahu si burung merbah,

Di bunga pudak singgah berhenti;

Kita tak tahu sikapnya berubah,

Janganlah lupa berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai Zul membalas.

“Burung gagak hinggap di pagar,

Terbang jauh mencari makan;

Hormat diberi selagi benar,

Jika khianat, jangan harap kemaafan.”

Sebelum ini timbul pelbagai spekulasi mengenai hubungan Anwar dan Ahmad Zahid, khususnya ketika Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) berdepan perbezaan pendirian berkaitan kerjasama dan pembahagian kerusi pilihan raya negeri.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menegaskan hubungan kerjasama antara PH dan BN dalam Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan berada dalam keadaan sangat baik serta profesional. 

Beliau berkata, pimpinan kedua-dua pihak bersikap matang dengan membezakan isu nasional yang perlu ditangani bersama sebagai anggota kerajaan dengan isu tempatan di peringkat negeri.

“Kita tidak pernah bergaduh dan kita tidak pernah bermanja. Maksud saya, kita berkempen secara bersopan, menyantuni isu, mendepani isu dan menangani permasalahan, itu lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN