KULIM – Seorang lelaki Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 11 pasport milik warganegara Bangladesh lain tanpa kuasa yang sah, bulan lalu.
Tertuduh, Salman Mallik, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret, Nor Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 11 pasport warganegara Bangladesh yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kuasa sah di sebuah premis di Taman Senangin, di sini kira-kira pukul 7 malam, 27 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa yang memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Lim Sheng Zhe memohon jaminan lebih rendah dengan alasan tertuduh memberi kerjasama sepanjang siasatan serta hadir ke mahkamah pada setiap prosiding yang ditetapkan.
Beliau berkata, pasport tertuduh juga sudah ditahan oleh Mahkamah Alor Setar berhubung satu lagi kes.
“Pihak kami juga memohon jaminan yang rendah kerana tertuduh menanggung kos rawatan isterinya dan perlu kembali menjaganya,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














