PETALING JAYA – Beberapa bangunan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan mengalami gegaran susulan gempa bumi yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia, hari ini.
Antara lokasi yang terkesan ialah bangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), INTI College Subang Jaya dan sebuah bangunan di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada pukul 12.31 tengah hari di Kajang.
“Pemeriksaan menyeluruh dijalankan selepas pihak bomba menerima maklumat mengenai gegaran bangunan. Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang rekahan dan bangunan berada dalam keadaan selamat untuk diduduki,” katanya dalan kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan kejadian sama di INTI College Subang Jaya pada pukul 12.40 tengah hari.
Katanya, anggota BBP Subang Jaya yang tiba di lokasi turut menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan tiada kerosakan struktur dikesan, sekali gus membolehkan bangunan itu digunakan seperti biasa.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.32 tengah hari berhubung gegaran di sebuah bangunan di Bandar Tasik Selatan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, hampir kesemua penghuni bangunan telah mengosongkan premis dan berkumpul di kawasan selamat.
“Menurut pemanggil, gegaran dirasai selama kira-kira 15 saat sebelum mereka bertindak keluar dari bangunan.
“Pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur bangunan mendapati tiada sebarang rekahan atau kerosakan dikesan dan bangunan disahkan selamat untuk diduduki semula,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan kejadian gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 berlaku di Utara Sumatera, Indonesia pada pukul 12.18 tengah hari.
Gempa itu berpusat kira-kira 55 kilometer barat daya Langsa pada kedalaman 10 kilometer dan gegarannya turut dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. – KOSMO! ONLINE














