fbpx
Juan Aranols (dua kiri) ketika pelancaran Kempen Gaji Seumur Hidup Nestle 3.0 di Nestle 1 Powerhouse, Bandar Utama, hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

Nestle kembali tawar ‘gaji seumur hidup’, hadiah lebih RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Nestle Malaysia kembali menganjurkan kempen ikonik Gaji Seumur Hidup bagi edisi ketiga tahun ini dengan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM4 juta, termasuk ganjaran RM3,500 sebulan seumur hidup kepada seorang pemenang bertuah.

Kempen yang akan berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September 2026 itu turut meneruskan komitmen syarikat membantu golongan memerlukan menerusi sumbangan berjumlah RM900,000 kepada 21 organisasi amal di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, kempen tersebut mencerminkan harapan dan aspirasi rakyat Malaysia yang memerlukan jaminan pendapatan lebih stabil bagi menghadapi kos sara hidup.

Menurutnya, selain memberi manfaat kepada pemenang, kempen itu turut membawa impak positif kepada masyarakat melalui sokongan berterusan terhadap pertubuhan amal.

“Bagi kebanyakan keluarga, pendapatan bulanan tetap boleh membantu memenuhi komitmen harian, menjaga keluarga, membuat simpanan dan merancang masa depan dengan lebih yakin.

“Apa yang menjadikan kempen ini lebih bermakna ialah manfaatnya bukan hanya dinikmati pemenang, malah turut disalurkan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya pada pelancaran Gaji Seumur Hidup 3.0 di sini hari ini.

Selain hadiah utama, dua pemenang hadiah pertama bakal menerima RM3,500 sebulan selama dua tahun, manakala 18 pemenang hadiah sagu hati akan menerima RM3,500 sebulan selama setahun.

Malah, seramai 10,000 pemenang mingguan turut membawa pulang PIN Tambah Nilai e-Dompet Touch ‘n Go bernilai RM100 setiap seorang.

Kempen Gaji Seumur Hidup mula diperkenalkan pada 2020 ketika pandemik Covid-19 sebelum kembali pada 2024 dengan sambutan menggalakkan.

Sepanjang dua edisi terdahulu, Nestle Malaysia telah menyalurkan hadiah tunai melebihi RM8 juta kepada ribuan rakyat Malaysia serta menyumbang RM1.5 juta kepada 35 badan amal di seluruh negara.

Pada majlis sama, tiga pemenang hadiah utama edisi 2020 dan 2024 iaitu Amirrul Hafiz Razak, Spencer Lim dan Lim Yuen Heng turut berkongsi pengalaman selepas memenangi hadiah tersebut.

Menurut Yuen Heng, kemenangan itu memberi keyakinan kewangan lebih kukuh kepada keluarganya selain membantu menampung keperluan isi rumah, kerja-kerja baik pulih rumah serta simpanan pendidikan anak.

Pengguna yang ingin menyertai kempen hanya perlu membeli produk Nestle yang mengambil bahagian bernilai minimum RM20 dalam satu resit sebelum menghantar penyertaan melalui borang web rasmi atau WhatsApp, dengan penyertaan berganda dibenarkan sepanjang tempoh kempen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN