PETALING JAYA – Pelakon juga usahawan, Nur Nilam Ortiz menafikan dakwaan sudah rujuk dan kembali sebumbung dengan bekas suaminya, Azlan Komeng.
Nilam, 45, berkata biarpun dilihat kerap muncul berdua dalam siaran langsung TikTok, hubungan hubungan yang masih terjalin dengan Azlan juga aktor itu hanya atas dasar tanggungjawab terhadap anak dan urusan perniagaan yang diusahakan bersama.
“Tuduhan tersebut tidak berasas, walaupun kami telah bercerai, bekas suami masih merupakan rakan niaga saya dan kami bertanggungjawab menggerakkan operasi Nilam Empire.
“Kehadirannya dalam sesi siaran langsung laman sosial saya adalah atas kapasiti profesional serta hanya berkaitan urusan bisnes,” katanya.
Sebelum ini, kemunculan aktor itu dalam kebanyakan sesi siaran langsungnya mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan mereka sudah berbaik selain masih tinggal serumah selepas bercerai.
Mengulas lanjut, Nilam berkata hubungan baik mereka didorong komitmen membesarkan dua cahaya mata iaitu putera bersama Azlan dan seorang lagi daripada perkahwinan terdahulunya yang rapat dengan bekas suaminya itu.
“Azlan sentiasa berusaha meluangkan masa dengan anak-anak malah saya tidak pernah menghalang keakraban mereka. Dia tetap ayah kepada anak-anak kami.
“Saya percaya perceraian bukan alasan untuk memutuskan hubungan kekeluargaan atau mewujudkan permusuhan antara dua individu yang pernah berkongsi kehidupan bersama,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nilam berkata fokus utamanya kini adalah mengembangkan lagi Nilam Empire dengan memastikan setiap produk yang dikeluarkan memenuhi standard kualiti premium.
Katanya, setiap produk melalui proses pembangunan yang teliti bagi mengekalkan identiti dan kepercayaan pengguna terhadap jenama tersebut.
Nilam turut meluahkan kebimbangan terhadap lambakan produk tiruan yang menggunakan nama Nilam Empire sekali gus mengingatkan pengguna agar lebih berhati-hati sebelum membuat pembelian.
“Terdapat pihak yang meniru produk kami hampir sepenuhnya dan menjualnya pada harga jauh lebih rendah.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu murah kerana kualiti serta keselamatan pengguna harus menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati meniru, mengedar atau menjual produk tiruan menggunakan identiti Nilam Empire.
Terdahulu, Nilam dan Azlan membuat pengumuman sudah sah bercerai pada Mac lalu namun tidak memerincikan tarikh perpisahan mereka. Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 22 Januari 2022 itu juga mempunyai seorang anak lelaki berusia lebih setahun. – KOSMO! ONLINE














