KUALA PILAH – Kebajikan warga emas tidak berpencen dan akses pendidikan kepada anak tempatan menjadi dua agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd. Ibrahim, sekira diberikan mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 1 Ogos ini.
Menurut beliau, ramai penduduk berusia antara 55 hingga 70 tahun sukar meneruskan kehidupan kerana tidak mempunyai pencen atau pendapatan tetap selepas berhenti kerja.
Katanya yang merupakan penyandang kerusi berkenaan, isu tersebut dikenal pasti sepanjang dua tahun lima bulan beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di situ sebelum ini, khususnya melibatkan bekas pekerja sektor tidak formal, suri rumah dan mereka yang bekerja sendiri.

“Majoriti penduduk di Pilah hanya bekerja kampung, mengambil upah atau bekerja dalam sektor yang tidak menyediakan pencen bulanan.
“Bila usia meningkat, mereka masih perlu menanggung keperluan harian, tetapi peluang untuk mendapatkan pekerjaan pula semakin terhad,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program ‘Walkabout’ di Kampung Tanah Melintang, di sini semalam.
Katanya, walaupun sebahagian warga emas masih sihat dan mampu bekerja, faktor usia menyebabkan mereka sukar diterima oleh majikan.
Katanya, keadaan itu memerlukan satu mekanisme bantuan lebih tersusun bagi memastikan golongan berkenaan dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.
Ini ujarnya, selari dengan salah satu tawaran manifesto PH Negeri Sembilan iaitu penambahbaikan Inisiatif Wang Keceriaan Warga Emas dengan menurunkan had umur kelayakan daripada 70 kepada 65 tahun.
“Menerusi inisiatif itu, warga emas berusia antara 65 hingga 69 tahun akan menerima bantuan RM200, manakala mereka yang berumur 70 tahun ke atas bakal menerima RM300,” katanya.
Dalam pada itu, Noorzunita yang sebelum ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri berkata, beliau mahu memastikan anak-anak di DUN Pilah mendapat akses lebih luas kepada kemudahan pendidikan dan bahan pembelajaran.
“Saya mahu fasiliti pendidikan di Pilah ditambah baik supaya anak-anak kita tidak perlu pergi jauh semata-mata untuk mendapatkan bahan pembelajaran atau kemudahan lebih lengkap.
“Pendidikan perlu dibuka seluas-luasnya kerana melalui pendidikan anak-anak Pilah mampu mengubah masa depan keluarga,” katanya.
Beliau turut menyatakan, peluasan manifesto ke atas Skim Sejahtera Rakyat (SSR) kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM8,000 kerana
langkah itu membolehkan keluarga M40 yang mempunyai ramai anak belajar di universiti turut dibantu.
“Saya mahu Pilah terus maju, sejahtera, stabil dan berdaya saing, pada masa sama kebajikan rakyat terutama warga emas dan pendidikan anak-anak mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Untuk rekod, pada PRN ke-16, 1 Ogos ini, Noorzunita dicabar S Leza Md Yasin daripada Barisan Nasional (BN). Pada PRN lalu, Noorzunita menang dengan majoriti 1,079 undi menewaskan Rafie Mustapha (PN-Pas).














