TAMPIN – “Ramai orang susah hendak sebut PN-BN, PBN lah kita.”
Itu kata Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika mencadangkan kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN).
Katanya, penggunaan nama itu bertujuan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, khususnya pengundi di negeri berkenaan.
“Kita hendak namakan supaya orang tidak keliru lagi. Kita di Negeri Sembilan ini bermula dengan Perikatan Barisan Nasional. Bagaimanapun, nama gabungan bukan perkara paling utama, sebaliknya semangat kebersamaan antara parti terlibat dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan perlu diberikan keutamaan.
“Yang penting bukannya nama itu. Yang penting ialah jiwa kebersamaan kita dalam menentukan masa depan Negeri Sembilan. Kita boleh namakan apa sekalipun,” katanya kepada pemberita selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Bukit Rokan, di sini, malam semalam.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan cadangan penggunaan nama PBN itu baru diketengahkan dan akan dibincangkan bersama rakan-rakan gabungan.
“Ini baru saya keluarkan hari ini. Saya akan berjumpa dengan rakan-rakan kita dan tengoklah bagaimana,” katanya
Menurutnya, kerjasama itu akan membawa ‘gelombang biru’ bagi menentang ‘gelombang merah’ dalam usaha mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri.-KOSMO! ONLINE














