KEMAMAN – Gara-gara menjual cecair vape yang tidak mempunyai label ditetapkan, sebuah premis jualan vape, Asaifa Kemaman Trading didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Majistret Marsha Abdul Malik memerintahkan demikian selepas pemilik premis itu selaku orang kena saman (OKS) mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, premis tersebut didakwa telah menawarkan cecair vape jenama Revolt pelbagai perisa dalam paket tidak dicetak set teks dan imej amaran kesihatan ditetapkan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan OKS di premisnya di Jalan Air Putih, Chukai di sini, pada pukul 9.05 malam, 21 Januari lalu.
OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau dipenjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan, Mohd. Azman Mohd Ramli dan Ahmad Nazmi Mat Yusoff, manakala OKS pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE














