KLANG – Seorang pekerja kilang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, awal bulan ini.
Tertuduh, Maung Maung, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Myanmar oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan susulan kes tersebut dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Myo Than Naing, 31, di sebuah premis di Jalan Tengah, Kampung Tengah Telok Gong, Pelabuhan Klang antara 9.30 malam hingga 10 malam pada 5 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 September depan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














