PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan hingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Sarawak melibatkan kawasan Serian (Serian), Samarahan, Sri Aman, Betong (Pusa dan Betong), Sarikei (Pakan dan Julau), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) dan Kapit (Song),” katanya.
Di Sabah, cuaca buruk dijangka turut melanda Pedalaman (Kuala Penyu) dan Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran).
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














