KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat dua transaksi kemasukan wang berjumlah RM8 juta daripada akaun bank Fashion Valet Sdn. Bhd. ke akaun bank milik syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. lapan tahun yang lalu.
Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Berhad, Azizan Hassan, 45, mengesahkan wang berkenaan dimasukkan menerusi perbankan dalam talian (online banking) ke akaun semasa 30 Maple Sdn. Bhd yang mana kedua-dua transaksi itu pada 21 Ogos 2018, masing-masing membabitkan RM5 juta dan RM3 juta.
“Berhubungan dengan transaksi kemasukan wang dari akaun Public Bank milik Fashion Valet Sdn. Bhd kepada 30 Maple Sdn. Bhd., saya telah membuat semakan ke atas penyata bank untuk bulan Ogos tahun 2018 dan mendapati terdapat kemasukan wang berjumlah RM5 juta pada tarikh 21 Ogos 2018 dan RM3 juta pada tarikh yang sama,” katanya dalam pernyataan saksinya.
Saksi pendakwaan pertama itu memberi keterangan dalam perbicaraan pengasas Fashion Valet Sdn. Bhd. (FashionValet) Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar berhubung pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad.
Terdahulu saksi itu mengesahkan terdapat borang pembukaan akaun perniagaan, atas nama 30 Maple Sdn. Bhd. bertarikh 11 Jun 2018 yang ditandatangani oleh Vivy dan Fadzarudin.
“Saya sahkan berdasarkan dokumen yang dirujuk terdapat penandatangan bagi pihak 30 Maple Sdn. Bhd. pada bahagian tandatangan dibenarkan (authorized signatory) Vivy Sofinas Yusof dan Fadzarudin Shah Anuar,” kata saksi tersebut.
Mengulas lanjut dalam pernyataan saksinya, pendakwaan pertama turut berkata semakan pada penyata bank 30 Maple bagi September tahun 2018 mendapati terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun syarikat itu berjumlah RM10,213,537.28 pada tarikh 3 September 2018.
“Dalam penyata bank untuk bulan September tahun 2018 ini juga terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM5 juta pada tarikh sama (3 September 2018) dan transaksi pengeluaran wang berjumlah RM5 juta pada tarikh 4 September 2018,” kata saksi itu lagi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah manakala peguam Datuk M.Athimulan mewakili pasangan itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung lagi 24 Julai ini.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn. Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Ia dimana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Kemudian pasangan itu sekali lagi didakwa dan turut mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menyalahgunakan dana pelaburan PNB dan Khazanah Nasional Berhad bernilai RM8 juta.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. iaitu dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad berjumlah RM8 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat sama mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini SPRM memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan membabitkan pasangan suami isteri itu berhubung kes kerugian pelaburan berkenaan.- KOSMO! ONLINE














