KEMAMAN – Lebih 1,000 penduduk Bukit Kuang di sini berkumpul secara aman bagi membantah projek pembinaan pusat pembakaran mayat yang dikatakan terlalu dekat dengan penempatan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Taman Bukit Kuang, Mohd. Rusli Ibrahim mendakwa, mereka difahamkan projek pembinaan pusat pembakaran mayat yang tidak dibincangkan bersama penduduk telah diluluskan baru-baru ini.
“Tapak pembinaan pusat pembakaran mayat itu sangat hampir iaitu cuma 300 meter (m) dengan penempatan kami dan 350 meter dari surau.
“Sekiranya siap nanti, tentu banyak acara keagamaan diadakan menyebabkan kami yang majoriti 95 peratus Melayu dan Islam ini akan berasa tidak selesa,” dakwanya selepas mengetuai perhimpunan bantahan secara aman di Bukit Kuang, di sini semalam.
Beliau turut menyerahkan memorandum bantahan yang tandatangani lebih 1,000 penduduk setempat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Razali Idris.
Beliau juga mendakwa projek pembinaan pusat pembakaran mayat itu dibimbangi akan memberi impak negatif terhadap pencemaran udara dan bau yang akan menjejaskan penduduk setempat.
Seorang penduduk, Mohd. Afandi Embong, 56 yang tinggal di Taman Desa Permai, Bukit Kuang di sini turut membantah cadangan pembinaan pusat pembakaran mayat tersebut.
“Saya lihat tapak projek itu sudah diratakan baru-baru ini dan menunggu masa untuk dibangunkan pada masa terdekat,” dakwanya.














