SANDAKAN – Ribuan kursus dan aktiviti pembelajaran percuma ditawarkan kepada rakyat menerusi National Training Week (NTW) 2026 yang berlangsung di seluruh negara dari 20 hingga 26 Julai ini.
Bertemakan ‘Pelajari, Alami, Kuasai’, program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bersama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) itu terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira umur, latar belakang dan pekerjaan.
Antara kursus yang ditawarkan termasuk AI Prompting, pemasaran digital, seni animasi AI, pengendalian dron, sokongan autisme, kesihatan dan bantuan pergerakan warga emas, bahasa, kemahiran teknikal serta penyelenggaraan kenderaan dan keusahawanan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, NTW bukan sekadar program tahunan, sebaliknya satu gerakan nasional bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
“Selaras dengan tema ‘Pelajari, Alami, Kuasai’, kita mahu memastikan peluang meningkatkan kemahiran dapat diakses oleh semua tanpa mengira umur, latar belakang atau lokasi.
“Apa yang penting ialah kesediaan untuk terus belajar kerana apabila rakyat terus meningkatkan kemahiran, negara akan terus maju,” katanya ketika melancarkan NTW 2026 di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini hari ini.
Pelancaran NTW edisi keempat itu turut menjadikan Sandakan sebagai lokasi pertama di Borneo menjadi tuan rumah kepada pelancaran inisiatif berkenaan sejak diperkenalkan pada 2023.
Menurut Khairul Firdaus, pemilihan Sandakan sebagai lokasi pelancaran bukan sahaja satu penghormatan kepada negeri Sabah, tetapi pengiktirafan terhadap peranan penting negeri itu dalam agenda pembangunan modal insan negara.
Malah kata beliau, sehingga hari ini, sebanyak 210 kursus percuma telah dibuka di seluruh Sabah dan daripada jumlah itu 80 kursus diadakan di Sandakan.
“Dari segi penyertaan pula, 1,436 penyertaan telah direkodkan di seluruh Sabah dan angka ini dijangka terus meningkat sepanjang NTW.
“Lebih membanggakan, 713 penyertaan adalah dari Sandakan, iaitu hampir separuh daripada keseluruhan penyertaan di Sabah. Tahniah kepada seluruh warga Sandakan atas sambutan yang amat memberangsangkan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar berkata, pembelajaran sepanjang hayat kini bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan.
“Sepanjang minggu ini, ribuan kursus ditawarkan secara percuma hasil kerjasama kerajaan, pihak industri, institusi latihan dan pelbagai rakan strategik yang berganding bahu bagi membawa lebih banyak peluang pembelajaran kepada rakyat,” katanya.
Kempen NTW 2026 akan diteruskan di seluruh negara sebelum melabuhkan tirai menerusi Majlis Kemuncak NTW 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Julai ini di Pulau Pinang.
Orang ramai boleh mengakses portal rasmi NTW sepanjang tahun bagi meneroka pelbagai peluang pembelajaran dan kursus latihan yang ditawarkan. – KOSMO! ONLINE














