GUA MUSANG – Nahas yang mengorbankan seorang penuntut sebuah universiti di Kilometer 93, Jalan Gua Musang-Lojing, di sini petang semalam dipercayai berpunca akibat kereta dinaiki mangsa terlanggar lopak air sebelum terbabas merempuh penghadang jalan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, mangsa, Nur Nabila Fatihah Zainal Abidin, 19, yang merupakan pelajar Universiti Tun Abdul Razak Kota Bharu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Lojing, di sini menuju ke Gua Musang ketika cuaca hujan dan permukaan jalan basah.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai terlanggar lopak air sehingga hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di bahu kiri jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan Nur Nabila Fatihah yang berada di tempat duduk penumpang depan kereta maut manakala pemandu dan dua lagi penumpang belakang mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang penuntut di sebuah universiti maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh penghadang jalan di Kilometer 93, Jalan Gua Musang-Lojing. – KOSMO! ONLINE














