KULIM – Hasrat sebuah keluarga dari Alor Setar untuk meraikan ulang tahun kelahiran seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Pusat Rekreasi Sungai Sedim di sini bertukar tragedi apabila fenomena kepala air mengorbankan tiga nyawa, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang terkorban ialah Nur Atikah Abdullah, 28, seorang peniaga dari Mergong, Alor Setar serta sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md. Radzi, 3.
Seorang lagi mangsa adalah daripada keluarga lain ialah Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.
Difahamkan, keluarga Nur Atikah tiba di lokasi itu kira-kira pukul 12.50 tengah hari dengan menaiki empat kereta melibatkan 10 ahli keluarga bagi mengadakan sambutan hari lahir anak perempuan Nur Atikah yang genap berusia tujuh tahun hari ini.
Mereka sempat membakar ikan dan menjamu selera sebelum beberapa ahli keluarga turun mandi di kawasan Titi Cina di berhampiran Tree Top Walk.
Walau bagaimanapun, hujan lebat pada pagi tadi dipercayai menyebabkan berlaku fenomena kepala air yang datang secara tiba-tiba.
Adik kepada Nur Atikah, Nur Arif Sukri, 26, berkata, mereka tidak pernah berkunjung ke kawasan itu sebelum ini dan memilih Sungai Sedim sebagai lokasi sambutan hari lahir anak kakaknya.
“Kami sampai sekitar pukul 12.50 tengah hari. Selepas makan, ada yang turun mandi. Tiba-tiba orang ramai menjerit memaklumkan kepala air datang dan keadaan menjadi kelam-kabut,” katanya ketika ditemui di bilik forensik Hospital Kulim di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














