fbpx
KAMARUZAMAN menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Nasrulhaq (Gambar kecil) yang dijumpai tidak bernyawa di dalam semak ketika ditemui di Hospital Kota Tinggi semalam.

Sanggup ambil cuti cari anak hilang, akhirnya jumpa jasad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Hampir seminggu seorang bapa meredah setiap ceruk kawasan dengan harapan dapat menemui anaknya yang hilang, namun tanpa disedari, laluan yang sering dilaluinya itu rupa-rupanya menyimpan jasad remaja itu.

Mayat Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman, 15, dijumpai orang awam di dalam semak di ladang kelapa sawit di Kilometer 8.2, Jalan Kluang-Kota Tinggi di sini kira-kira pukul 2.30 pagi semalam.

Pelajar tingkatan tiga itu dila­porkan hilang sejak Ahad lalu selepas meninggalkan rumah kira-kira pukul 11 malam, Sabtu lalu de­ngan menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC berwarna merah hitam.

Bapanya, Kamaruzaman Bahari, 50, berkata, dia berasa amat ralat apabila mengenangkan dia bersama rakan-rakan telah berkali-kali meredah pelbagai ceruk kawasan, termasuk melalui laluan sama, namun gagal menemui anaknya ketika itu.

Menurutnya, selepas menge­tahui anaknya hilang, dia yang bekerja di sebuah kilang di Desa Cemerlang sanggup mengambil cuti kerja serta mengetepikan rehat demi menjejaki anaknya.

“Memang tak cukup rehat, kepala otak pula ligat memikirkan keadaan anak. Sejak dimaklumkan oleh mak mentua yang anak tidak balik ke rumah, saya terus bergegas pulang dan mulakan pencarian.

​“Dari hari Ahad sehinggalah malam sebelum ditemui, saya keluar pagi dan hanya pulang ke rumah pada pukul 4 subuh (pagi) sebelum menyambung semula pencarian keesokan harinya.

“Boleh dikatakan kawasan laluan Kota Tinggi, Petri Jaya ini sudah menjadi seperti rumah kedua saya hari-hari saya lalu,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini semalam.

Sementara itu, ​Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sendiri.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah di badan serta kaki dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat telah dirujuk ke unit forensik Hospital Kota Tinggi untuk siasatan.

“Kes masih dalam siasatan polis dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, usaha mencari Muhammad Nasrulhaq selama lima hari turut dibantu penduduk setempat serta pelbagai kumpulan luar selepas berita kehilangannya tular di Facebook.

Mangsa hilang selepas pergi ke rumah rakannya di Kampung Temenin Baru.

Kali terakhir mangsa dapat dihubungi menerusi panggilan video oleh rakan perempuannya pada pukul 4.26 pagi, Ahad lalu.

Rakan perempuannya itu sempat merakam detik yang mana telefon bimbit Muhammad Nasrulhaq kelihatan seperti terjatuh.

​Bagaimanapun, usaha penca­rian berakhir dengan khabar duka apabila jasadnya ditemukan kira-kira 30 kilometer dari rumah keluarganya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN