KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat wanita didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi permohonan mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh Najiha Salim, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan yang didakwa ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lapan bulan dan tertuduh membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur telah menggunakan satu dokumen yang kamu ketahui palsu iaitu Surat Penganugerahan Projek Pembangunan Bercampur membabitkan dua lot tanah di Batu Pahat, Johor daripada sebuah syarikat bertarikh 3 Mei 2023.
Ia yang mana dokumen itu digunakan bagi permohonan mendapatkan PLKS di Jabatan Imigresen dengan mengarahkan seorang individu untuk mengambil dokumen tersebut kepada Imigresen.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Unit Taskforce Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini pada Oktober 2023 yang didakwa mengikut Seksye 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen 465 Kanun yang sama.
Justeru hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berikutan pengakuan bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana melibatkan dokumen keselamatan negara.
“Kami memohon agar ‘deterrence sentence’ (hukuman berbentuk pengajaran) dikenakan ke atas tertuduh untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga memberi amaran kepada masyarakat. Ia perlu dikenakan dengan tujuan supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.
“Kenyataan bahawa peruntukan undang-undang dengan jelas menggariskan hukuman penjara terlebih dahulu dan diikuti dengan denda jelas menunjukkan niat pihak legislatif untuk pertimbangan serius harus diberikan,” katanya.
Bagaimanapun peguam, Shahidah Muslimah Roslan mewakili Najiha pula memohon hukuman berbentuk denda pada kadar minimum atas alasan anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang selain mempunyai tanggungan dua anak kecil dan ibu bapa di Sabah. – KOSMO! ONLINE














