fbpx
Masa depan atlet terletak pada tadbir urus yang baik oleh pihak atasan. GAMBAR HIASAN. Foto oleh AMIR KHALID

Cara terbaik lahirkan atlet tuai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apabila berbicara tentang sukan, yang sering kita utarakan ialah kejayaan atau pingat yang diraih oleh seorang atlet. Kita melihat atlet berlari di balapan selama 10 saat.

Kita melihat mereka melompat, melontar atau memecahkan rekod dalam beberapa minit yang penuh dramatik. Namun, sedar atau tidak, ada satu perkara yang jarang dibincangkan iaitu tadbir urus.

Mutakhir ini, kenyataan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang berhubung kemelut melibatkan bekas Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley membuka mata banyak pihak.

Apa yang menarik, Azizul tidak hanya mempertahankan individu yang telah membim­bingnya lebih dua dekad, tetapi beliau turut mengingatkan bahawa setiap perbezaan pendapat atau perubahan dalam sesebuah organisasi perlu diurus secara profesional, berhemah dan tidak menjejaskan persiapan atlet.

Malah, beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa polemik yang berpanjangan hanya akan mengganggu fokus atlet yang sedang membuat persiapan menghadapi temasya besar seperti Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Mesej yang ingin disampaikan jauh lebih besar daripada itu. Ia mengingatkan kita bahawa kejayaan sesebuah sukan bukan hanya bergantung kepada bakat atlet atau kebijaksanaan jurulatih semata-mata.

Ibarat ‘bom jangka’

Di belakang setiap pingat yang dimenangi, wujud sebuah sistem yang menentukan hala tuju pembangunan sukan itu sendiri. Apabila sistem tersebut kukuh, atlet mampu berkembang dalam persekitaran yang profesional.

Namun apabila tadbir urus mula dipersoalkan, kesannya bukan sahaja dirasai oleh orga­nisasi, malah akhirnya turut memberi tempias kepada atlet yang menjadi wajah negara di pentas antarabangsa.

Natijahnya, isu tadbir urus tidak seharusnya dilihat sebagai urusan pentadbiran semata-mata, sebaliknya ia merupakan nadi kepada kelangsungan sesebuah organisasi sukan.

Seperti yang dinyatakan pada awal penulisan ini, kelemahan tadbir urus bukanlah krisis yang berlaku secara tiba-tiba. Ia bermula dengan retakan kecil yang sering dipandang remeh, sebelum akhirnya menjadi ‘bom jangka’ yang menghakis kepercayaan terhadap keseluruhan sistem.

Nazmizan

Pada mulanya mungkin ha­nya timbul persoalan mengenai sesuatu keputusan, kemudian lahir rasa tidak puas hati, diikuti persepsi negatif dan akhirnya keyakinan terhadap organisasi mula luntur.

Apabila keadaan ini dibiarkan berlarutan, impaknya tidak lagi terhad kepada pentadbiran semata-mata, malah mula dirasai oleh atlet, jurulatih, pegawai, penaja dan seluruh ekosistem sukan.

Dalam dunia sukan, kepercayaan ialah mata wang yang pa­ling bernilai. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina, tetapi boleh hilang hanya kerana beberapa keputusan yang dianggap tidak telus atau tidak konsisten.

Apabila kepercayaan mula terhakis, motivasi atlet akan terjejas, keyakinan penaja semakin berkurangan dan usaha membangunkan sukan menjadi semakin sukar. Tiada jumlah peruntukan atau program yang mampu mengembalikan kepercayaan itu dalam tempoh yang singkat.

Dalam konteks sukan olahraga, Malaysia Athletics sebagai badan induk yang menaungi sukan ini tidak boleh dilihat sekadar sebagai sebuah organisasi pentadbiran, sebaliknya ia merupakan nadi kepada pembangunan olahraga negara.

Amanah yang dipikul jauh le­bih besar daripada menganjurkan kejohanan atau memilih atlet ke temasya antarabangsa.

Malaysia Athletics bertanggungjawab membangunkan bakat dari ­peringkat akar umbi, memperkukuh program prestasi tinggi, membimbing pembangunan jurulatih dan pegawai teknikal, mengurus sumber secara berhemah serta memastikan setiap atlet berkembang dalam ekosistem yang telus, profesional dan diyakini semua pihak.

Justeru, apabila Malaysia Athletics kembali menjadi perhatian kebelakangan ini disebabkan pelbagai persoalan berkaitan tadbir urus organisasi, pematuhan kepada perlembagaan, proses pentadbiran serta keyakinan terhadap kepimpinan badan induk olahraga negara, ia seharusnya dilihat sebagai satu peringatan kepada seluruh ekosistem sukan negara.

Walaupun isu ini masih melalui proses dan mekanisme yang sewajarnya, ia membuka ruang untuk kita menilai semula sejauh mana sistem tadbir urus yang diamalkan benar-benar mampu menyokong pembangunan atlet dan memperkukuh keyakinan semua pihak yang berkepentingan.

Hakikatnya, organisasi sukan bergantung penuh kepada keupayaannya membina kepercayaan dalam kalangan atlet, jurulatih, pegawai, penaja dan masyarakat. Kepercayaan itulah yang akhirnya menjadi asas kepada sebuah sistem yang mampu melahirkan kejayaan secara konsisten, bukan sekadar bermusim.

Sebagai bekas atlet negara, saya cukup memahami bahawa kejayaan seseorang atlet tidak pernah berlaku secara bersendirian. Di belakang setiap rekod yang tercipta, ada jurulatih yang merancang latihan, pegawai yang mengurus pertandingan, pakar sains sukan yang memantau ­prestasi, pentadbir yang membuat keputusan serta sebuah organisasi yang memastikan ke­seluruhan sistem bergerak ke arah yang sama.

Peranan organisasi

Namun bayangkan seorang atlet yang telah mengorbankan usia remajanya. Bertahun-tahun dia berlatih tanpa mengira panas atau hujan, enam malah ada yang tujuh hari seminggu.

Prestasinya memenuhi syarat kelayakan dan segala pengorbanan dilakukan dengan satu harapan – menyarung jersi negara dan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas antarabangsa. Namun apabila senarai akhir diumumkan, namanya tidak tersenarai tanpa penjelasan yang benar-benar difahami.

Persoalannya bukan semata-mata sama ada keputusan itu betul atau salah. Yang lebih pen­ting ialah bagaimana keputusan tersebut dibuat dan bagaimana ia dijelaskan kepada pihak yang terlibat.

Dalam organisasi sukan, ketelusan bukan sekadar memenuhi prosedur, tetapi membina keyakinan. Apabila komunikasi gagal, persepsi akan mengambil tempat. Dan apabila persepsi mula menguasai, kepercayaan terhadap sistem akan perlahan-lahan terhakis.

Sedangkan kepercayaan ialah nadi kepada pembangunan sukan. Atlet yang yakin terhadap sistem akan terus berjuang walaupun berdepan kegagalan. Jurulatih yang percaya kepada organisasi akan terus membimbing tanpa ragu.

Penaja pula lebih ya­kin untuk melabur apabila melihat tadbir urus yang profesional dan berintegriti. Sebaliknya, apabila kepercayaan mula hilang, motivasi semakin pudar, soko­ngan semakin berkurangan dan usaha membangunkan sukan menjadi jauh lebih sukar.

Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat. Negara pernah melahirkan legen­da seperti mendiang Datuk Dr. M. Jegathesan, Rabuan Pit, G. Shanti, Watson Nyambek serta ramai lagi atlet yang pernah mengharumkan nama negara.

Hari ini juga kita mempunyai ge­nerasi baharu yang tidak kurang hebatnya. Persoalannya bukan sama ada kita mempunyai bakat, tetapi sama ada kita mempu­nyai sebuah sistem yang mampu mengenal pasti, membimbing, melindungi dan mengekalkan bakat tersebut secara konsisten.

Organisasi sukan yang hebat bukanlah organisasi yang tidak pernah berdepan cabaran. Sebaliknya, organisasi yang hebat ialah organisasi yang berani me­lakukan muhasabah, mengakui kelemahan, bersedia melaksanakan pembaharuan dan sentiasa meletakkan kepentingan atlet mengatasi segala-galanya.

Dalam dunia sukan moden, integriti bukan lagi satu pilihan, tetapi prasyarat kepada kecemerlangan.

Akhirnya, masa depan olahraga Malaysia tidak ditentukan oleh siapa yang paling pantas berlari atau paling jauh melontar. Ia ditentukan oleh sejauh mana kita berani membina sebuah organisasi yang telus, profesional dan dipercayai.

Kerana hanya melalui tadbir urus yang berintegriti, keyakinan dapat dipupuk, bakat dapat dibangunkan dan kecemerlangan dapat dikekalkan secara berterusan.

Seorang atlet mungkin hanya memerlukan beberapa saat untuk melakar sejarah. Namun, sebuah organisasi memerlukan bertahun-tahun untuk membina kepercayaan. Dan tanpa kepercayaan, sejarah itu mungkin tidak akan pernah tercipta.

Nazmizan Muhammad merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis dan Olimpian Negara

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN