TEXAS – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui skuad kendaliannya tidak cukup bagus ketika tewas 0-2 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir Piala Dunia yang berlangsung di Stadium Dallas awal pagi semalam.
Walaupun melakukan lebih banyak percubaan ke arah pintu gol lawan, namun Les Bleus tidak memanfaatkan setiap peluang terhidang, sekali gus meranapkan harapan mereka untuk ke final buat kali ketiga berturut-turut.
Pada perlawanan itu, Sepanyol membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Mikel Oyarzabal di minit ke-22 sebelum Pedro Porro melengkapkan kemenangan apabila melakukan jaringan 13 minit selepas separuh masa kedua bermula.
Deschamps berkata, skuad La Roja menampilkan corak bertahan yang cukup baik pada perlawanan tersebut sehingga memberikan kesukaran kepada anak-anak buahnya selain beberapa kesilapan teknikal dilakukan Perancis.
“Bagi mencapai impian, kami perlu berada pada tahap terbaik, tetapi malang sekali, kami gagal untuk melakukannya. Bagi saya, kami juga tidak menunjukkan corak permainan yang sama seperti sebelum ini.
“Sepanyol juga bertahan cukup baik hari ini (semalam) apabila langsung tidak memberikan ruang kepada kami. Beberapa kesilapan teknikal dilakukan turut memberi masalah kepada diri sendiri,” katanya.
Sebagai rekod, kempen Piala Dunia kali ini merupakan tugasan terakhir Deschamps bersama Perancis selepas beliau mengumumkan bakal meletakkan jawatan sebaik saingan berakhir dan posisi itu akan diambil alih Zinedine Zidane.
Sebelum ini, Les Bleus sudah melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Dunia dua kali berturut-turut ketika menjadi juara pada edisi 2018 selain berpuas hati dengan gelaran naib juara di Qatar empat tahun lalu.
Sementara itu, Deschamps juga mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan, Ivan Arcides Barton Cisnero yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol apabila mendakwa bola sudah terkena tangan Lamine Yamal sebelum dia dikasari Lucas Digne.
“Jika saya berikan alasan, mungkin saya dituduh tidak dapat menerima hakikat kerana kami kalah. Adakah pengadil hari ini (semalam) layak untuk mengendalikan separuh akhir? Anda semua ada jawapannya,” ujarnya. – AGENSI















