fbpx
Gambar yang dimuat naik di Threads oleh Fahreennn_ memaparkan wanita yang mendakwa dirinya hamil sedang berurusan dengan pemandu teksi.

Wanita dakwa hamil, disamun untuk raih simpati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Orang ramai terutama pejalan kaki di sekitar ibu negara digesa agar lebih berwaspada dengan kemunculan modus operandi baharu penipuan yang mengambil kesempatan ke atas sifat simpati masyarakat untuk mendapatkan wang.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Fahreennn_, dia berkongsi detik cemas selepas dihampiri seorang wanita berhampiran Bangsar South baru-baru ini.

Katanya, wanita itu memegang tangannya dalam keadaan cemas dan mendakwa disamun penunggang motosikal sehingga menyebabkan barangan berharga seperti kad pengenalan, kunci kereta dan beg tangan lesap.

“Wanita itu mendakwa dia sedang hamil lima bulan hasil rawatan bayi tabung uji (IVF) dan mengalami pendarahan kerana ditendang di perut dan ditarik rambut oleh penyamun.

“Dia tak nak dibawa ke hospital atau naik e-hailing dengan alasan budaya keluarganya melarang wanita hamil anak pertama duduk di atas kerusi fabrik kulit. Dia bertegas mahu ke Kajang Specialist Hospital sebab rekod perubatannya ada di sana,” katanya.

Bagaimanapun, taktik penipuan itu terbongkar apabila suspek cuba menggunakan telefon bimbit mangsa untuk mengakses perbankan online, selain mengajak ke kedai pajak gadai dan meminjam wang dengan alasan mahu membayar tambang teksi dan rawatan.

“Saya bayar RM60 untuk teksi dan dia minta pinjam RM100 untuk buat (jelaskan) bayaran di hospital. Saya bagi dan tak minta ganti balik sebab mahu bantu wanita mengandung yang dalam kecemasan,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman pernah berdepan dengan situasi sama ditipu oleh wanita mengandung bagi meraih simpati.

“Saya pernah kena Disember lepas dekat Bukit Jalil. Jalan cerita yang sama sebab saya ingat dia kata tak boleh duduk atas tempat duduk jenis kulit,” kata Norani_nani.

“Sama jalan cerita dia kata suami kerja kat Singapura. Dia minta saya hantarkan kat KPJ Kajang, saya tumpangkan dan turunkan dia dekat balai polis terdekat. Mula-mula dia tak nak turun tapi saya panggil polis bantuan untuk tolong,” kongsi Ctmismail pula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN