MARANG – Seramai 10 warga asing termasuk empat kanak-kanak disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu hari ini.
Operasi bersepadu bermula pukul 10 pagi itu menumpukan kedai makan, pusat cucian kenderaan dan kedai perabot yang menjadi tumpuan warga asing bekerja.
Pengarah JIM Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, seramai 61 warga asing telah diperiksa dalam serbuan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati 10 individu terbabit termasuk wanita dan empat kanak-kanak disyaki PATI kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan permit kerja sah.
“Mereka terdiri lapan warga Myanmar, manakala masing-masing seorang Bangladesh dan Indonesia,” katanya di Bukit Payong di sini hari ini.
Yusri berkata, salah seorang suspek warga Indonesia yang bekerja di sebuah pusat cucian kenderaan bertindak agresif cuba melarikan diri tetapi gagal.
Beliau berkata, empat kanak-kanak lelaki dan perempuan yang ditahan pula berusia dalam lingkungan empat hingga 11 tahun, manakala kesemua 10 suspek disyaki PATI disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE















