MELAKA – Situasi banjir di Melaka semakin pulih apabila hanya 48 mangsa daripada 12 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, dua PPS yang masih beroperasi ialah Balairaya Kampung Seri Jeram di Alor Gajah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.
Menurut beliau, PPS Balairaya Kampung Seri Jeram menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga, manakala PPS SK Tehel menempatkan 43 mangsa daripada 11 keluarga.
“Alhamdulillah, keadaan banjir di Melaka semakin pulih apabila kebanyakan mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas air surut dan kediaman mereka selamat untuk diduduki semula.
“Semua PPS di daerah Melaka Tengah telah ditutup sepenuhnya, begitu juga PPS Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah di Alor Gajah selepas kesemua mangsa selesai pulang ke kediaman masing-masing,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kawasan yang masih terjejas ketika ini ialah Kampung Seri Jeram di Masjid Tanah serta Kampung Gapam, Kampung Lubok Kasau dan Kampung Tehel (Parit Lampung) di daerah Jasin.
“APM Melaka akan terus memantau kawasan berisiko banjir berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Trend penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS menunjukkan keadaan banjir di negeri ini semakin terkawal dan kini memasuki fasa pemulihan,” katanya.















