RAWANG – Sebuah kilang yang menghasilkan alatan sembahyang di Taman Industri Rawang di sini terbakar dalam kejadian tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.01 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama bantuan BBP Batu Arang, Bukit Sentosa, Selayang dan Damansara bergegas ke lokasi sebelum tiba enam minit kemudian.
“Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang membuat alatan sembahyang dengan keluasan bangunan kelas B kira-kira 60,000 kaki persegi.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 80 peratus. Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 35 minit selepas operasi pemadaman dimulakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua lori tangki air (water tanker) bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan berhampiran.
Katanya, seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi yang ketika ini masih diteruskan bagi memadamkan saki-baki kebakaran dan kerja-kerja overhaul.
“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE















