fbpx
SYED SADDIQ

Syed Saddiq: Apa keputusan mahkamah tertinggi negara esok?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Selepas ditangguh pada 30 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan esok bagi keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan sama ada Syed Saddiq kekal bebas atau disabitkan akan ditentukan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang iaitu Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sebelum ini telah mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Sementara Syed Saddiq, 33, selaku responden dalam rayuan itu diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan itu, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Pada 30 Jun lalu, keputusan berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq yang sepatutnya diketahui hari sama ditangguh ke 13 Julai iaitu esok.

Ia berikutan apabila salah seorang hakim dalam panel iaitu Che Mohd. Ruzima cuti sakit yang mana perkara itu dimaklumkan sendiri Hakim Abu Bakar yang mengetuai panel dan beliau satu-satunya hakim yang berada pada prosiding berkenaan.

“Kami sebenarnya sudah bersedia dengan keputusan, tetapi malangnya perkara yang tidak diduga ini berlaku hari ini, bagaimanapun, kami bersedia untuk menyampaikan keputusan pada 13 Julai ini. Oleh kerana keadaan sedemikian, kami tidak dapat memberikan keputusan harini. Tidak wajar (bagi kami) untuk menyampaikan keputusan tanpa kehadiran salah seorang ahli panel.

“Tiada pilihan lain dalam perkara ini. Kami berpendapat bahawa keputusan itu perlu disampaikan pada 13 Julai. Kami tidak boleh terus menangguhkannya,” katanya pada prosiding terdahulu.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas terhadap keempat-empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Ia selepas mahkamah itu membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN