MELAKA – Sebanyak lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di seluruh Melaka susulan banjir yang melanda tiga daerah hari ini, dengan kawasan Bukit Rambai dikenal pasti sebagai lokasi paling buruk akibat hujan lebat luar biasa sejak awal pagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, empat PPS dibuka di daerah Melaka Tengah, manakala sebuah lagi di daerah Alor Gajah iaitu PPS Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah bagi menempatkan mangsa yang dipindahkan.
Menurut beliau, hasil pemantauan di lapangan mendapati antara kawasan paling teruk terjejas ialah Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya di Bukit Rambai, selain Taman Masjid Tanah Ria, Pengkalan Batu, Duyong, Bemban serta beberapa kawasan di Serkam.
“Sehingga petang ini, air di beberapa lokasi di Bukit Rambai masih berada pada paras pinggang dan belum menunjukkan tanda-tanda surut walaupun hujan telah berhenti.
“Kita meminta penduduk yang berada di kawasan berisiko supaya segera berpindah ke PPS dan tidak mengambil risiko berada di rumah jika keadaan tidak selamat,” katanya semasa sidang akhbar selepas meninjau kawasan banjir di Taman Rambai Utama di sini hari ini.
Menurut beliau, banjir kali ini berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa tinggi sehingga menyebabkan sungai melimpah, bukannya disebabkan kegagalan pam atau kolam takungan banjir.
Katanya, daripada 41 stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh negeri, sebanyak 21 stesen merekodkan taburan hujan melebihi 100 milimeter (mm), iaitu pada tahap kritikal. – KOSMO! ONLINE















