FOXBOROUGH – Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menghamburkan pujian kepada kapten, Kylian Mbappe yang menjadi tunjang ketika mereka menang 2-0 ke atas Maghribi pada aksi suku akhir Piala Dunia 2026 di Stadium Boston awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Mbappe menjaringkan satu gol selain membantu rakan sepasukan ketika melakukan serangan ke arah kubu lawan sebelum dia dikeluarkan pada minit ke-77 gara-gara kecederaan.
Pemain Real Madrid itu juga menunjukkan kekuatan mental cukup hebat apabila bangkit daripada kekecewaan selepas sepakan penalti yang dilakukan pada minit ke-28 diselamatkan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou.
Deschamps berkata, beliau langsung tidak panik ketika Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti tersebut kerana percaya anak buahnya itu akan bangkit dan menebus kegagalan tersebut.
“Apabila ia melibatkan Kylian (Mbappe), tidak menjadi masalah (gagal sepakan penalti) kerana dia tidak pernah ragu pada kemampuan diri. Dia juga ada beberapa peluang untuk menjaringkan gol sebelum penalti tersebut.
“Sekarang kami sudah berjaya melangkah ke separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut dan ia satu pencapaian hebat. Jika kami tidak memiliki pemain-pemain hebat seperti ini, tidak mungkin kami mampu melakukannya,” katanya.
Menerusi kemenangan itu, Les Bleus semakin hampir untuk melangkah ke final Piala Dunia ketiga berturut-turut selepas turut melakukannya ketika menjadi juara edisi 2018 serta naib juara 2022.
Sementara itu, Deschamps turut memberi jaminan Mbappe tidak mengalami kecederaan serius walaupun dia dilihat menerima rawatan pada buku lalinya selepas dikeluarkan dan digantikan dengan Jean-Philippe Mateta.
“Dia ada rasa sakit di buku lalinya tetapi itu adalah perkara biasa. Mbappe adalah seorang pemain yang sentiasa memberikan segala-galanya buat pasukan, terutamanya dalam perlawanan seperti ini,” ujarnya. – AGENSI















