PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan terdapat beberapa ketidakaturan dan ketidakpatuhan dalam proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia.
Menurut EAIC, hasil siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) mendapati syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas telah dibuat dalam tempoh singkat dan secara tidak teratur.
Katanya, siasatan turut mendapati, terdapat ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk melibatkan proses temuduga dan tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen (JIM) kepada pemain itu.
“Terdapat juga isu berhubung pengendalian tapisan keselamatan oleh JIM dan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh JPN bagi tujuan kelulusan kewarganegaraan.
“Pada masa sama, terdapat ketidakpatuhan berkenaan pengesahan pelepasan kewarganegaraan negara asal daripada pihak berkuasa negara asal pemain itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, siasatan turut mendapati wujud ketidakpatuhan berkenaan penyerahan pasport negara asal oleh pemain naturalisasi itu kepada JIM.
Tambah EAIC, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi menurut peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, MDN selanjutnya menjalankan kuasa dan budi bicara dengan memberi kelulusan khas mengambil kira sumbangan pemohon dalam sukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama negara menurut Perkara 19(2) dibaca bersama seksyen 20(1)(e) Bahagian lll Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
“Peruntukan tersebut memberi kuasa budi bicara kepada Menteri Dalam Negeri atas sebab-sebab yang ditetapkan secara am atau secara khas oleh Menteri untuk menghitung tempoh kemastautinan seseorang itu tidak berada di dalam Persekutuan boleh dianggap bermastautin di Malaysia.
“Namun PPK EAIC mendapati bahawa pertimbangan kepada syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memperoleh kelulusan khas telah dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan secara tidak teratur,” katanya.
Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan JPN dan KDN menyemak semula keseluruhan proses dan dokumen-dokumen kewarganegaraan melalui penaturalisasian yang telah diberikan kepada tujuh pemain berkenaan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ini memandangkan dapatan EAIC menunjukkan bahawa terdapat ketidakaturan tersebut.
Katanya, satu garis panduan perlu diwujudkan dalam menjalankan kuasa budi bicara di bawah undang-undang dengan mengambil kira peruntukan asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Langkah ini dengan menitikberatkan tempoh kemastautinan dalam negara sebagai satu asas kewarganegaraan diperakukan dan faktor penting juga dalam mempertimbangkan kelulusan untuk diberikan atas dasar keadaan khas.
“JPN dan KDN mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkenaan pemberian taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.
“JPN dan KDN menyediakan satu SOP khusus berkenaan pelepasan kewarganegaraan asal oleh warganegara asing yang telah memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE















