fbpx
SERAMAI 2.72 juta rakyat Johor akan menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN Johor ke-16, esok. Foto RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

PRN Johor: Beri tempoh munasabah kepada pekerja mengundi – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua majikan di negara ini supaya memberikan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung esok.

SPR dalam satu kenyataan berkata, permintaan itu dibuat susulan kebimbangan orang ramai bahawa terdapat kemungkinan segelintir majikan tidak membenarkan pekerja mereka meninggalkan tempat kerja bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Menurut SPR, setiap pekerja yang berdaftar sebagai pemilih berhak diberikan masa yang mencukupi untuk mengundi pada hari pengundian tanpa sebarang halangan daripada majikan.

“Majikan juga diingatkan supaya mematuhi Seksyen 25 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] yang mewajibkan mereka memberikan tempoh munasabah kepada pekerja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Majikan tidak dibenarkan membuat sebarang potongan gaji atau saraan lain, selain mengenakan apa-apa penalti terhadap pekerja atas alasan mereka keluar mengundi,” menurut kenyataan itu.

SPR turut menegaskan bahawa mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung menghalang pekerja daripada mengundi atau enggan memberikan tempoh munasabah melakukan suatu kesalahan di bawah undang-undang.

Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh satu tahun.

Sehubungan itu, SPR berharap semua majikan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses pengundian PRN Johor Ke-16 berjalan lancar, sekali gus menggalakkan kadar keluar mengundi yang tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN