fbpx
MARTINEZ dilihat gagal mencapai sasaran yang diinginkan selepas FPF menganggap kempen kali ini jauh tersasar. - AFP

Piala Dunia 2026: Portugal sudah ada calon ganti Martinez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LISBON – Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) dilaporkan memilih jurulatih berpengalaman, Jorge Jesus sebagai calon utama menggantikan Roberto Martinez dengan pengesahan rasmi bakal dibuat pada penghujung minggu ini.

Sebagai rekod, kontrak Martinez berakhir sejurus Portugal tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 susulan tewas 0-1 kepada Sepanyol, awal minggu ini.

Presiden FPF, Pedro Proenca mengesahkan pihaknya sedang giat mencari individu yang mampu mengembalikan Portugal ke landasan yang tepat pada saingan Liga Negara-Negara Eropah, Euro 2028 dan Piala Dunia 2030 nanti.

“Jurulatih baharu mestilah seseorang yang cukup mengenali bola sepak Portugal dan memiliki mentaliti kemenangan seperti yang menjadi identiti persekutuan serta skuad kebangsaan.

“Terdapat beberapa pilihan yang sedang dipertimbangkan. Saya akan mengendalikan perkara ini sendiri dan berharap kami mempunyai jawapan yang konkrit sebelum penghujung minggu ini,” katanya.

Menurut sumber, Jesus merupakan pilihan utama FPF untuk membimbing Selecao sehingga kempen Piala Dunia 2030 selepas pengendali berusia 71 tahun itu bergelar ejen bebas apabila kontraknya bersama Al Nassr berakhir, Mei lepas.

Walaupun belum pernah mengendalikan mana-mana skuad kebangsaan, rekod cemerlang Jesus di peringkat kelab menjadikannya antara jurulatih yang dihormati sehingga turut menjadi calon untuk mengemudi Brazil sebelum ini.

Sementara itu, Proenca mengakui kempen Portugal pada Piala Dunia kali ini jauh daripada jangkaan dan menuntut perubahan total.

“Era baharu pasukan perlu bermula sekarang dan kami mahu melihatnya menjadi kenyataan. Kempen Piala Dunia ini jauh tersasar daripada apa yang kami harapkan,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN