KUALA LUMPUR – Tindakan pantas sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas yang mengalami kecederaan menyebabkan dia terkunci dalam kediamannya di Salak South Garden, di sini hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan bantuan pintu terkunci kira-kira pukul 11.13 pagi tadi.
“Menurut Komander Operasi Penguasa Bomba Kanan I Rosli Ibrahim, pihaknya mendapati pintu rumah yang berkunci telah berjaya dibuka oleh orang awam.
“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 89 tahun yang berada di ruangan dapur mengalami kecederaan patah di bahagian buku lali akibat terjatuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menambah, anggota kemudian memberi rawatan awal kepada mangsa pada bahagian yang cedera.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.17 tengah bari dan mangsa diserahkan kepada pihak ambulans Hospital Kuala Lumpur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














