KUALA LUMPUR – Kelewatan penggantian 5,323 kenderaan kerajaan yang telah tamat tempoh pajakan menyebabkan pembaziran wang kerajaan berjumlah RM28.79 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, keadaan itu menyebabkan kementerian dan agensi pengguna terpaksa meneruskan pajakan sewaan lama melebihi tempoh asal antara 48 hingga 60 bulan.
“Kerajaan terpaksa membayar kos sewaan tetap bulanan penuh beserta kadar kos penyelenggaraan bulanan (repairs and maintenance) yang jauh lebih mahal.
“Berbanding jika kenderaan digantikan dengan kenderaan baharu yang mempunyai kos penyelenggaraan tahun pertama yang jauh lebih rendah,” katanya pada sidang akhbar pembentangan Penyata PAC di Parlimen, hari ini.
Menurut Mas Ermieyati, penyata itu dihasilkan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang mendapati pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi Kemnterian Kewangan (MOF) kurang memuaskan.
Sehubungan itu, beliau berkata, PAC mengemukakan lima syor untuk tindakan segera kerajaan bagi memastikan pengurusan kenderaan konsesi dibuat dengan lebih teratur.
Antaranya, MOF perlu memasukkan penambahbaikan yang dikenal pasti ke dalam Perjanjian Tambahan bersama syarikat konsesi supaya kadar pajakan bulanan tidak dikenakan bagi kenderaan konsesi yang telah tamat tempoh pajakan tetapi terpaksa terus digunakan akibat kelewatan pembekalan kenderaan baharu.
“MOF perlu menyegerakan tindakan pengauditan dan pengesahan data baki hari kelewatan pembekalan bagi semua kementerian dan agensi pengguna.
“Bagi membolehkan Surat Tuntutan Penalti rasmi dapat dikemukakan kepada syarikat konsesi secepat mungkin,” katanya.
PAC turut mengesyorkan supaya MOF memastikan sistem digital pemantauan fleet kenderaan digunakan sepenuhnya oleh semua kementerian dan agensi pengguna.
Selain itu, MOF dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri diminta menjalankan kajian komprehensif bagi meneroka keberkesanan model pengurusan alternatif seperti sistem pembekal fleet pelbagai.
“Kajian ini hendaklah menilai potensi penjimatan kos dan kecekapan penyampaian perkhidmatan berbanding model konsesi tunggal sedia ada yang mengikat Kerajaan sehingga tahun 2037.
“Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan penyediaan opsyen model kenderaan alternatif bagi mengelakkan terjejasnya perkhidmatan sekiranya berlaku gangguan penamatan pengeluaran mengejut oleh pengilang automotif tunggal,” katanya.- KOSMO! ONLINE














