KUALA LUMPUR – Fasa 2 Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang melibatkan pendaftaran individu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka yang mengaku sebagai pelarian di luar Depot Tahanan Imigresen (DTI) dirancang bermula pada separuh kedua tahun ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, proses itu akan dilaksanakan di pusat-pusat penentuan status pelarian yang akan diumumkan kelak.
“KDN menyasarkan proses pendaftaran ke atas golongan ini diselesaikan sepenuhnya pada 31 Disember 2029.
“Pendaftaran Program DPP ini dilaksanakan oleh unit khas iaitu Task Force Pendaftaran Pelarian (TPP) di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” menurut KDN.
KDN menjawab demikian dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang meminta kerajaan menyatakan status pelaksanaan Program DPP dan bilangan pelarian yang telah mendapat kebenaran untuk bekerja di Malaysia.
KDN berkata, Program DPP telah bermula pada 1 Januari 2026 selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023).
Dalam pada itu, menurut KDN, Fasa 1 Program DPP dilaksanakan dengan tumpuan kepada tahanan majoriti warganegara Myanmar etnik Rohingya di Depot Tahanan Imigresen seluruh Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan tahanan yang telah didatakan adalah seramai 4,010 orang, merangkumi 4,008 warga Myanmar serta masing-masing seorang warga Sudan dan Syria.
“Jumlah ini merangkumi seramai 2,746 orang tahanan lelaki dewasa, 632 orang tahanan perempuan dewasa, 392 orang kanak-kanak lelaki dan 240 orang kanak-kanak perempuan.
“Kumpulan ini akan dipindahkan secara berfasa ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS), Bidor Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP),” katanya.
Sehingga Jun 2026, seramai 128 tahanan warga Myanmar etnik Rohingya, terdiri daripada 127 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa, telah dipindahkan ke PPKPPS Bidor, Perak.
Daripada jumlah tersebut, seramai 78 individu telah diluluskan status pelarian di bawah Program DPP, manakala projek rintis Program Pekerjaan DPP turut dilaksanakan ke atas kumpulan berkenaan.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 78 individu (77 lelaki dan 1 wanita) telah diluluskan status pelarian di bawah Program DPP. Pembebasan akan dilaksanakan setelah proses berkaitan selesai dilaksanakan.
“Projek rintis Program Pekerjaan DPP juga telah dilaksanakan ke atas kumpulan 78 individu yang telah diluluskan status pelarian di bawah Program DPP dan 25 individu telah dikenalpasti layak untuk di ambil bekerja,” katanya.- KOSMO! ONLINE














