MELAKA – World Youth Foundation (WYF) mencadangkan tujuh resolusi kepada kerajaan bagi memperkukuh pengurusan isu pelarian Rohingya di negara ini, melibatkan aspek keselamatan, kawalan kemasukan serta keberkesanan sistem pemantauan.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, antara cadangan utama ialah pelaksanaan pendokumentasian menyeluruh terhadap semua pelarian dan pencari suaka, termasuk penggunaan data biometrik serta rekod lengkap peribadi dan keluarga.
“Semua pelarian dan pencari suaka perlu direkodkan secara sistematik termasuk maklumat biometrik, alamat kediaman serta rekod keluarga bagi tujuan keselamatan dan pemantauan.
“Pada masa sama, kemasukan pelarian baharu secara tidak sah perlu dibendung bagi mengelakkan tekanan berterusan terhadap negara. Penguatkuasaan sempadan dan kawalan pintu masuk juga perlu diperkasakan,” katanya pada Forum Bulatan WYF bertajuk Isu Pelarian Rohingya: Ketegasan serta Komitmen Pelbagai Agensi yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan World Youth Foundation, Ayer Keroh, di sini.
Mohd. Ridhwan yang juga Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia turut mencadangkan penubuhan kawasan penempatan khas yang terkawal serta pengukuhan kawalan sempadan bagi membendung kemasukan pelarian baharu secara tidak sah.
Selain itu, beliau menyarankan supaya rundingan dipertingkatkan dengan Myanmar, Bangladesh dan negara berkaitan bagi mencari penyelesaian jangka panjang, termasuk proses pemulangan semula secara berperingkat dan selamat.
Katanya, kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) juga perlu diperkukuh, khususnya dalam membuka lebih banyak peluang latihan kemahiran, pekerjaan serta penempatan semula ke negara ketiga. – KOSMO! ONLINE














