Kisah malang etnik Rohingya sudah lama, sejak tahun 1970-an mereka terpaksa melarikan diri ke negara jiran.
Hal ini kerana kerajaan Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara meskipun mendakwa telah menetap di negara itu sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Konflik dan operasi ketenteraan memuncak pada Ogos 2017 apabila kumpulan bersenjata Rohingya menyerang beberapa pos keselamatan kerajaan menyebabkan tentera Myanmar melancarkan operasi balas berskala besar.
Dilaporkan berlaku pembunuhan, pembakaran kampung dan pelanggaran hak asasi manusia menyebabkan lebih 700,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan menghuni kem pelarian di Cox’s Bazar.
Rentetan itu sebahagian daripada mereka inilah yang menaiki bot-bot kayu menuju ke Malaysia, Indonesia dan Thailand. Atas tujuan mencari tanah damai, selamat dan pemerintah yang ‘baik’ bagi suatu kehidupan baharu.
Sedikit demi sedikit mereka tiba di sini dan berusaha menjalani kehidupan di negara orang. Daripada menjadi buruh dan kini sebahagian mereka sudah menjadi tenaga mahir sehingga ada yang bergelar kontraktor binaan meskipun tanpa lesen yang sah.
Ketika anak-anak muda kita merempit di sana sini, mereka gigih merebut segenap ruang dan peluang sehingga ada yang bergelar ahli perniagaan, hidup mewah dan mampu menggaji pula rakyat tempatan.
Akhirnya mereka membentuk koloni di sini. Ada perniagaan dan perusahaan sendiri. Di sesetengah kawasan, rakyat tempatan pula yang berasa seolah-olah berada di negara asing.
Etnik malang ini, tidak lagi malang di sini. Mereka menjadi etnik bertuah yang dilindungi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Mereka seolah-olah mempunyai keistimewaan dan tidak boleh ambil tindakan selagi tidak melanggar undang-undang.
Isunya sampai bila keadaan ini kita mahu biarkan berterusan. Kewujudan komuniti dan koloni mereka di banyak tempat dan berselerak di segenap kampung di negara ini semakin hari semakin menyesakkan jiwa kita.
Dalam keadaan kita terpaksa mematuhi undang-undang membayar pelbagai cukai, mereka menikmati kemudahan awam dengan percuma termasuk pelbagai subsidi kerajaan.
Masalah ini berbangkit kerana kita tidak mempunyai perancangan dalam menguruskan kehidupan dan hala tuju etnik Rohingya ini. Selama berpuluh tahun kita leka dan membiarkan mereka berkembang sehingga menjadikan jumlahnya lebih 120,000 orang.
Sementara baki pelarian yang ada di Bangladesh pula terus berusaha untuk masuk apatah mengetahui betapa mereka mampu beroleh ‘syurga’ di sini.
Keadaan diburukkan dengan wujudnya dalang yang mengaut keuntungan dan menjadikan bisnes besar membawa mereka masuk melalui pelbagai cara.
Sewajarnya masalah ini memerlukan satu penyelesaian secara tuntas. Ada penyusunan pelan tindakan dan ada sasaran masa supaya mereka tidak selama-lama menjadi beban kepada rakyat tempatan yang semakin ‘sesak’ mata dan jiwa serta makin menipis simpati terutama yang tinggal dalam satu kejiranan bersama komuniti ini.
















