PETALING JAYA – Demi memastikan anaknya dapat menikmati buah durian, seorang ibu sanggup mengetepikan rasa malu apabila meminta untuk berhutang sebekas durian kampung dengan alasan belum menerima gaji.
Kisah itu dikongsikan oleh seorang peniaga di Pasar Batu Enam, Kuala Terengganu, apabila kejadian itu dikatakan berlaku semalam di gerai jualannya, Durian Batu 6.
“Demi anak, rela tebalkan muka. Seorang ibu sanggup berhutang sebekas durian kampung. Katanya belum gaji, nanti gaji bayar balik. Demi sang anak yang berada dalam raga motosikal.
“Duhai anak, hargailah ibumu! Kelak kau berjaya, balaslah jasanya. Pergorbanan seorang ibu. Kisah benar yang berlaku malam semalam di Durian Batu 6. Kita bagi dua bekas, ucapan terima kasih tidak berhenti daripada sang ibu,” katanya.
Hantaran tersebut meraih perhatian orang ramai yang memuji kebaikan peniaga durian tersebut, malah ada yang ‘berlumba-lumba’ ingin membayar bagi pihak ibu berkenaan.
Bagaimanapun peniaga itu memaklumkan, durian berkenaan telah diberi secara percuma tanpa perlu berhutang.
“Ramai yang Whatsapp minta QR nak bayarkan durian bekas sang ibu. Untuk makluman, tauke dah bagi secara percuma, tanpa berhutang.
“Terima kasih orang baik, semoga kita semua dimurahkan rezeki,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














