GEORGE TOWN – Tular tindakan sekumpulan penunggang motosikal yang dikatakan cuba memasuki lorong kenderaan di Plaza Tol Jawi di sini, sebelum berpatah balik sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang berdurasi 30 saat itu, kelihatan lima penunggang motosikal nekad menunggang secara lawan arus sejurus melihat keberadaan anggota polis di hadapan lorong berkenaan.
Malah, turut berlaku kemalangan kecil melibatkan penunggang motosikal terbabit, berhampiran sebuah kenderaan yang melalui lorong yang sama.
Video yang dimuat naik di laman sosial Facebook itu nyata mengundang kemarahan pengguna selain meminta tindakan tegas diambil pihak berwajib.
“Bawa laju berani, nampak polis lari,” komen Fareez Aiman.
“Ada laluan sendiri tapi lalu kawasan kereta. Tidakkah menyusahkan orang yang sudah bayar tol,” balas Hafizah.
“Dia ingat ikut jalan kereta boleh lepas,” tulis MohdFadlizan.
“Jangan susahkan orang lain kalau nak hidup senang. Susahkan orang ni sama aniaya orang. Balasannya di dunia juga,” tulis Adam.
“Laluan motosikal kan ada. Jangan cuba laluan merbahaya. Tolong jaga nyawa, jaga keselamatan wahai adik-adik, pak cik-pak cik,” tulis Zuraidah. – KOSMO! ONLINE














