KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan untuk menyediakan 30,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030 bagi menyokong pertumbuhan penggunaan EV serta pembangunan industri automotif negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata, sasaran itu selaras dengan usaha memperluas rangkaian infrastruktur EV di seluruh negara.
Ini kerana katanya, kemudahan pengecas EV ketika ini masih belum mencukupi dan kerajaan sedang mengambil pelbagai langkah untuk mempercepat pembangunan ekosistem berkenaan.
“Pada masa kini, kerajaan sedar terdapat kekurangan dalam kemudahan ini. Pembangunan stesen pengecas perlu disokong oleh sub stesen bagi bekalkan tenaga yang mencukupi.
“Kerajaan sedang membangunkan satu mekanisma kerjasama dengan pemegang taruh seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menyediakan sub stesen terlebih dahulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abdm Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang bertanyakan tentang penyediaan stesen pengecasan EV yang ketika ini belum mencukupi serta langkah kerajaan menangani isu berkenaan. – KOSMO! ONLINE














